- Iklan -
Berita

Menteri, pembantu tutup mulut berhubung identiti Zainab dalam skandal kapal tempur

Jurucakap bekas timbalan menteri pertahanan itu berkata Abd Latiff Ahmad tidak akan memberi ulasan dalam masa terdekat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abd Latiff Ahmad. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abd Latiff Ahmad. Gambar: Bernama

Identiti wanita yang dinamakan dalam laporan audit forensik projek kapal tempur pesisir (LCS) kekal misteri selepas bekas timbalan menteri pertahanan Abd Latiff Ahmad sekali lagi menafikan Zainab Mohd Salleh yang dikaitkan dengan projek itu bukan isterinya.

"Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh," kata Latiff dalam sebuah hantaran Facebook selain turut menafikan ahli keluarganya terlibat dalam perniagaan membabitkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan siasatan berhubung kontrak projek LCS yang bernilai berbilion ringgit di mana ia turut mengenal pasti Zainab sebagai isteri Latiff.

Ia turut disahkan dalam laporan audit forensik dilakukan terhadap Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) oleh Alliance IFA Sdn Bhd berhubung skandal kontrak berbilion ringgit itu yang telah dinyahklasifikasikan bermula 22 Ogos lalu oleh kerajaan.

Berhubung penafian Latiff hari ini, jurucakapnya memberitahu MalaysiaNow ahli Parlimen Mersing itu mungkin tidak akan memberi sebarang ulasan lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

"Tuduhan kononnya keluarga menteri (Latiff) dapat projek LCS sudah dijawab memandangkan beliau dah maklumkan dua kali bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri beliau dan beritahu tiada ahli keluarganya yang dapat kontrak LCS," kata jurucakap itu.

Ditanya sekiranya Latiff akan mengambil tindakan berhubung laporan tersebut, jurucakap itu berkata "tidak ada apa-apa yang perlu diumumkan lagi".

"Mungkin ada tindakan selanjutnya," tambahnya.

Dalam laporan sebelum ini, Zainab  dinamakan sebagai salah seorang daripada pemilik Sousmarin Armada Ltd, sebuah syarikat yang mempunyai alamat perniagaan di Paris namun transaksi pembayaran kepadanya dibuat di Singapura.

Sousmarin adalah salah satu syarikat yang terlibat dengan kontrak bernilai RM9 bilion oleh syarikat milik kerajaan Boustead Naval Shipyard (BNS) bagi membina enam kapal tempur yang gagal disiapkan.

MalaysiaNow turut melaporkan nama Zainab turut dikaitkan dengan satu lagi syarikat yang menerima transaksi jutaan dolar bagi projek LCS melalui beberapa akaun mencurigakan di luar negara.

Sumber berkata syarikat itu, Alizes marine Ltd didaftarkan di Malta dan Labuan di bawah nama yang sama, dan ia beroperasi tanpa pejabat sebenar sebelum pendaftarannya dibatalkan antara 2015 dan 2019.

MalaysiaNow turut difahamkan BNS juga tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dalam masa terdekat susulan penafian Latiff tersebut.

Jurucakapnya memaklumkan bahawa syarikat itu juga sedang memantau dan mengikuti rapat perkembangan berkaitan perkara ini.

"Tiada kenyataan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kami memantau rapat sebarang perkembangan berhubung perkara ini," katanya.

MalaysiaNow sudah menghubungi Latiff namun masih tidak menerima sebarang respons.