- Iklan -
Berita

Zainab bukan isteri saya, kata ahli Parlimen didakwa terlibat skandal LCS

Abdul Latiff Ahmad berkata beliau sedia berikan kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan lanjut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Mersing Abdul Latiff Ahmad. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Mersing Abdul Latiff Ahmad. Gambar: Bernama

Bekas timbalan menteri pertahanan Abd Latiff Ahmad hari ini menafikan beliau adalah suami kepada wanita yang dinamakan oleh penyiasat berhubung penglibatannya dalam syarikat meragukan yang menerima jutaan dolar berkait projek kapal tempur pesisir (LCS).

“Saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut,” kata Latiff yang merupakan ahli Parlimen Mersing dan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sebuah kenyataan ringkas.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan lanjut berkenaan perkara itu.

Terdahulu, MalaysiaNow memetik sumber yang rapat dengan audit  forensik berhubung kontrak berbilion ringgit itu, di mana ia mengatakan Zainab sebagai isteri kepada Latiff. 

Dalam laporan itu, wanita tersebut dinamakan sebagai salah seorang daripada pemilik Soumarin Armada Ltd, sebuah syarikat yang mempunyai alamat perniagaan di Paris namun pembayaran kepadanya dibuat di Singapura.

Sousmarin adalah salah satu syarikat yang terlibat dengan kontrak bernilai RM9 bilion oleh syarikat milik kerajaan Boustead Naval Shipyard (BNS) bagi membina enam kapal tempur yang gagal disiapkan.

MalaysiaNow turut melaporkan nama Zainab turut dikaitkan dengan satu lagi syarikat yang menerima transaksi jutaan dolar bagi projek LCS melalui beberapa akaun mencurigakan di luar negara.

Sumber berkata syarikat itu, Alizes marine Ltd di daftarkan di Malta dan Labuan di bawah nama yang sama, dan ia beroperasi tanpa pejabat sebenar sebelum pendaftarannya dibatalkan antara 2015 dan 2019.

Latiff dan Zainab juga merupakan pemegang taruh dalam Mega P Sdn Bhd, anak syarikat konglomerat pertahanan, Ameris France.

Penelitian terkini menunjukkan Zainab kini memegang keseluruhan 350,002 saham dalam syarikat tersebut.