- Iklan -
Berita

Pendedahan: Isteri bekas timbalan menteri pertahanan terlibat siasatan skandal LCS

Siasatan forensik mendapati syarikat tidak berdaftar terlibat selain wujud transaksi mencurigakan dalam projek RM9 bilion bagi pembinaan enam kapal tempur yang gagal disiapkan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan salah sebuah kapal tempur pesisir pertama atau LCS1 yang sudah 60% siap pada April tahun ini di Bousted Naval Shipyard di Lumut, Perak.
Pemandangan salah sebuah kapal tempur pesisir pertama atau LCS1 yang sudah 60% siap pada April tahun ini di Bousted Naval Shipyard di Lumut, Perak.

Siasatan berhubung perolehan kapal tempur (LCS) menamakan isteri bekas timbalan menteri pertahanan yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan terdahulu dan ketika ini sebagai salah seorang individu yang terlibat dalam kontroversi projek LCS itu, MalaysiaNow kini boleh mendedahkan berdasarkan sumber rapat dengan isu tersebut.

Turut difahamkan, siasatan forensik mendapati penglibatan beberapa syarikat tidak berdaftar dan wujud transaksi mencurigakan bagi projek bernilai RM9 bilion oleh syarikat milik kerajaan Boustead Naval Shipyard (BNS) bagi membina enam kapal tempur yang gagal disiapkan.

Salah satu syarikat tersebut adalah Sousmarin Armada Ltd, yang mempunyai alamat yang meragukan di Paris di mana transaksi pembayaran kepadanya dibuat di Singapura, di mana corak transaksi serupa turut didapati dilakukan dalam kalangan syarikat kontraktor lain yang dianugerahkan kontrak LCS.

Sumber yang bercakap kepada MalaysiaNow menamakan salah seorang pemilik syarikat itu sebagai Zainab Mohd Salleh, di mana menurut siasatan dia adalah isteri kepada Ahli Parlimen Mersing Abdul Latiff Ahmad.

Latiff, yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan tertinggi kerajaan menggantikan Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu, pernah bersama Umno sebelum menyertai Bersatu ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ketika beliau masih menjadi ahli Umno, Latiff adalah timbalan menteri pertahanan dari 2008 hingga 2013.

MalaysiaNow sudah menghubungi Latiff dan masih menunggu responsnya.

Nama Zainab turut dikaitkan dengan satu lagi syarikat yang menerima jutaan dolar daripada projek LCS itu, namun melalui beberapa akaun mencurigakan di luar negara.

“Syarikat itu, Alizes Marine Ltd didapati didaftarkan di Malta dan Labuan di bawah nama yang sama,” kata sumber.

Malta dan Labuan adalah lokasi perlindungan cukai luar pesisir.

Sumber selanjutnya berkata kedua-dua syarikat "beroperasi sebagai syarikat samaran”.

“Mereka hanya ada pejabat maya, atau dengan kata lain, mereka tidak mempunyai pejabat.

“Namun kedua-dua syarikat itu dibatalkan pendaftarannya antara 2014 dan 2019," kata sumber lagi sambil menambah penyiasat percaya kedua-dua syarikat luar pesisir itu digunakan oleh DCNS, kontraktor ketenteraan Perancis yang dilantik untuk membina kapal tempur itu.

Sementara itu, Latiff dan Zainab juga merupakan pemegang saham Mega P Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat kepada syarikat konglomerat pertahanan Ameris France.

Penelitian terkini menunjukkan Zainab kini memegang keseluruhan 350,002 saham dalam syarikat tersebut.

Perbahasan mengenai kontrak LCS kini kembali hangat berikutan pendedahan laporan badan dwi partisan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mengenai projek itu selepas mendapati ia gagal disiapkan.

Ia diikuti dengan pendedahan awam laporan siasatan sulit yang disediakan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Minggu lalu, bekas panglima tentera laut dan pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa melakukan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung projek itu.

Semalam, perdana menteri berikrar untuk telus dalam siasatan kontrak LCS, mengatakan kerajaan tidak akan membenarkan isu itu menjadi bahan spekulasi.