- Iklan -
Berita

Najib hadir perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi

Difahamkan, mahkamah telah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya bekas perdana menteri itu menghadiri prosiding.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 23 Ogos lalu. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 23 Ogos lalu. Gambar: Bernama

Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, dijangka hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan, mahkamah telah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu menghadiri prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Prosedur biada dalam kes sedemikian adalah untuk mahkamah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara bagi membolehkan banduan hadir pada perbicaraannya bagi kesalahan lain atau sebagai saksi.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Disember 2021, Najib gagal mengenepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.