- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan bebas pertuduhan anak Mat Sabu

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said yang menolak rayuan pendakwaan bagi mengenepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Ahmad Saiful Islam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahmad Saiful Islam, anak lelaki bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu. Gambar: Bernama
Ahmad Saiful Islam, anak lelaki bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu. Gambar: Bernama

Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam hari ini kekal bebas atas tuduhan penyalahgunaan dadah, tiga tahun lepas.

Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Kamaludin Md Said, yang menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengenepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Saiful, 34.

"Mahkamah telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang kerana membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.

"Mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan dan mahkamah ini mendapati tiada keraguan terhadap keputusan hakim itu yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful Islam.

"Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama M Gunalan dan Hashim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Pada 27 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Saiful atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.

Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata pengambilan hanya satu botol air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.

Beliau berkata mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.

Sebelum ini, majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Saiful selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya K Mangai manakala Saiful diwakili peguam Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.