- Iklan -
Berita

Polis Jerman rampas 4 kereta mewah bernilai RM57 juta dalam siasatan berkait skandal 1MDB

Empat kereta Bugatti yang dirampas itu merupakan sebahagian daripada siri eksklusif jenama mewah itu.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Setiap kereta Bugatti yang dirampas oleh polis Jerman berharga sekurang-kurangnya RM14 juta. Gambar: Bugatti
Setiap kereta Bugatti yang dirampas oleh polis Jerman berharga sekurang-kurangnya RM14 juta. Gambar: Bugatti

Polis Jerman merampas empat kereta mewah berjenama Bugatti Veyron yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, lapor akhbar Jerman, Bild.

Kereta yang dirampas itu merupakan sebahagian siri eksklusif "Legends" oleh Bugatti, yang mana hanya 18 buah dibina.

Empat kereta itu ialah edisi Veyron Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini, masing-masing berharga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).

Akhbar itu berkata semua kenderaan itu disita oleh Jabatan Siasatan Jenayah 7, unit yang menyiasat jenayah kolar putih, selepas dirampas dari sebuah tempat letak kereta bawah tanah di Motorworld Munich, sebuah pusat acara automotif di utara bandar itu.

Laporan itu menyatakan rampasan itu dilakukan sebagai sebahagian siasatan berkait skandal 1MDB.

Skandal 1MDB yang mencetuskan siasatan jenayah di beberapa buah negara melibatkan pelbagai individu daripada ahli politik sehinggalah bintang Hollywood.

Sebuah pendedahan pada 2015 bahawa perdana menteri ketika itu Najib Razak menerima lebih AS$700 juta daripada 1MDB menerusi akaun bank peribadinya telah mengejutkan politik Malaysia, dan akhirnya membawa kepada kejatuhannya tiga tahun kemudian.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung sabitannya dalam kes SRC International, anak syarikat 1MDB.

Beliau didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung penyaluran RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya.

Lembaga Pengampunan baru-baru ini mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun sementara denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta

Najib telah memfailkan semakan kehakiman berhubung dakwaannya bahawa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, telah menyertakan nota tambahan atau adendum kepada keputusan Lembaga Pengampunan itu, yang mengandungi titah supaya Najib dibenarkan menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.