- Iklan -
Berita

Rakam serbuan atau tangkapan polis bukan kesalahan, peguam bidas menteri

Lawyers for Liberty berkata kerajaan sendiri meluluskan penggunaan kamera badan untuk anggota polis.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Polis melakukan rondaan di sekitar Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Polis melakukan rondaan di sekitar Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini membidas Hamzah Zainudin kerana menyifatkan perbuatan merakam atau menyiarkan secara langsung operasi serbuan dan tangkapan polis sebagai satu kesalahan, mengatakan menteri dalam negeri itu tidak mempunyai asas undang-undang dalam dakwaannya.

Hamzah, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, berkata mereka yang merakam tangkapan atau serbuan polis boleh dikenakan tindakanbawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Beliau juga berkata merakam serbuan polis juga melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) kerana mengganggu orang lain.

Bagaimanapun Pengarah LFL Zaid Malek berkata tiada peruntukan undang-undang yang menjenayahkan tindakan merakam pegawai polis ketika menjalankan tugas, sama ada melalui kamera, video atau siaran langsung.

“Kita tidak pernah tahu ada kesalahan seperti itu di mana-mana tempat lain dalam dunia demokrasi," katanya.

“Sebaliknya, merakam penjawat awam dalam tindakan penguatkuasaan mereka adalah tindakan positif kerana ia membantu dalam usaha mencegah perbuatan salah laku atau salah guna kuasa.

“Sedar bahawa mereka sedang diperhatikan adalah baik untuk integriti dan prestasi perkhidmatan awam, terutamanya pasukan polis."

Zaid juga mempersoalkan apakah Hamzah mendapatkan nasihat Jabatan Peguam Negara berhubung perkara itu, menyifatkan kenyataannya itu sebagai “tidak masuk akal” apabila menteri itu bergantung kepada Kanun Keseksaan dan CMA bagi menyokong dakwaannya.

“Rakaman atau siaran langsung bukan halangan kepada pegawai polis menjalankan tugas mereka seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

"Seksyen 233 CMA juga tidak merangkumi tindakan merakam tindakan pegawai polis atau berkongsi dalam talian."

Malah, katanya, kerajaan sendiri meluluskan penggunaan kamera badan untuk polis, fakta yang menguatkan lagi betapa “tidak masuk akal kenyataan Hamzah itu”.

“Ketika membuat dakwaan tersebut, menteri dalam negeri sama ada jahil tentang undang-undang atau sengaja menghalang penelitian terhadap sebarang penyalahgunaan kuasa atau perbuatan menyalahi undang-undang oleh anggota pasukan polis," tambahnya.

“Sangat menghairankan menteri dalam negeri boleh buat kenyataan yang tidak teliti dalam era ketelusan dan akauntabiliti hari ini."

Jika serbuan atau tangkapan dilakukan mengikut undang-undang, Zaid berkata, tiada pegawai polis perlu takut mereka dirakam.

"Malahan, rakaman itu mungkin boleh membebaskan polis sekiranya aduan atau tuntutan palsu dibuat terhadap mereka," katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Hamzah menarik balik secara terbuka apa yang disifatkan sebagai "ancaman yang tidak boleh diterima" terhadap warga Malaysia, sambil menambah polis adalah penjawat awam dan mempunyai tanggungjawab kepada rakyat.

"Skop kesalahan jenayah tidak boleh diperluaskan mengikut kehendak dan ke