- Iklan -
Berita

Survei berdasarkan bukti sediakan data rasuah lebih tepat, kata penganalisis

Bagaimanapun, mereka berkata ia tidak bermakna Indeks Persepsi Rasuah harus diketepikan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi

Survei berdasarkan bukti wajar dijadikan sebagai pengukur situasi amalan rasuah di sesebuah negara apabila metodologi itu mampu memberi gambaran yang lebih jelas mengenai tahap keseriusan jenayah tersebut dan mencerminkan usaha pihak berkuasa menanganinya, kata beberapa pakar.

Mereka berkata, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang merupakan survei berdasarkan persepsi tidak menggambarkan keadaan sebenar berkaitan jenayah rasuah yang sedang berlaku kerana metodologi ini mempunyai bebereapa limitasi.

Menurut Suhaimee Saahar, pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (CMIWS), UiTM,  antara limitasi yang dimaksudkan ialah penggunaan metodologi ini hanya tertumpu kepada amalan rasuah yang berlaku pada sektor awam dan tidak mengambil kira keadaan di sektor swasta.

Selain itu, katanya, skala ukuran amalan jenayah rasuah menerusi CPI juga tidak terbukti menerusi analisa statistik yang digunakan penyelidik, malah kredibiliti survei berdasarkan persepsi ini juga dipersoalkan kerana skor bagi setiap negara adalah berbeza dan tidak mencerminkan usaha kerajaan membanteras jenayah itu.

"Sebab itu indeks yang dihasilkan menerusi survei berdasarkan bukti bagi sesebuah negara adalah lebih baik untuk menunjukkan realiti," katanya kepada MalaysiaNow.

Berdasarkan CPI tahun 2021, kedudukan Malaysia daripada 180 negara menurun ke tangga 62 berbanding 57 pada tahun sebelumnya manakala skor negara turut menyusut daripada 51 kepada 48.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki baru-baru ini menyatakan CPI tidak mencerminkan realiti dan fakta, malah agensi anti rasuah itu juga sedang bekerjasama dengan United Nation in Drugs and Crime (UNDOC) untuk mengubah beralih kepada survei berdasarkan bukti.

Sementara itu, pakar kriminologi, Kassim Noor Mohamed turut menyifatkan usaha sama antara SPRM dan UNODC merupakan satu perkembangan baik kerana survei berdasarkan bukti dilihat sebagai metodologi yang lebih baik berbanding survei berdasarkan persepsi.

Menerusi survei berdasarkan bukti, katanya, ia menawarkan data yang lebih kukuh serta memberi gambaran yang lebih jelas berhubung situasi rasuah yang dihadapi negara.

"Survei berdasarkan bukti mengukur pengalaman responden berkaitan rasuah.

"Kaedah ini menghasilkan data yang lebih tepat dan boleh digunakan untuk menghasilkan intervensi yang lebih baik," katanya dalam temubual bersama MalaysiaNow.

Namun begitu, Kassim menegaskan bahawa meskipun survei berdasarkan bukti dianggap sebagai kaedah yang lebih baik, beliau bagaimanapun berpendapat bahawa CPI tidak perlu ditolak sepenuhya.

Katanya CPI boleh digunakan, tetapi ia tidak patut jadi sebagai rujukan utama dan digunakan untuk menyokong survei berdasarkan bukti.

"Survei berdasarkan persepsi walaupun ia tidak begitu kukuh, datanya boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat.

"Jika melibatkan kajian, semua perlu berdasarkan bukti, tetapi ini tidak bermaksud kita tak boleh gunakan CPI, cuma jangan anggap ia sebagai Holy Grail," tambah beliau.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai persepsi rasuah di Malaysia, Kassim menjelaskan isu itu sering kali timbul kerana ramai hanya melihat kepada kewujudan jenayah tersebut tanpa mengambil kira usaha pihak berkuasa seperti SPRM mengambil tindakan.

"Contohnya kes 1MDB - iaitu antara kes skandal terbesar - apabila ditanya mengenai kes ini, sama ada kita tahu atau tidak buitran mengenainya, ia memberi persepsi bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang korup sebab wujudnya kes tersebut.

"Tetapi sebenarnya pihak berkuasa pun sedang siasat dan mengambil tindakan sewajarnya," jelasnya.

Kata beliau, pihak yang sering mempertikaikan usaha membanteras rasuah di Malaysia kemungkinan tidak begitu faham mengenai proses siasatan.

"Perlu diingati, ada kes yang mengambil masa lama, ada juga yang perlu diutamakan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

"Sama seperti proses berjumpa doktor, sekiranya tidak kritikal, maka doktor tersebut akan utamakan pesakit yang lebih serius," jelasnya.

Dari aspek ekonomi, Yeah Kim Leng dari Sunway Universiti, berkata, walaupun CPI adalah berdasarkan persepsi, ia masih digunakan sebagai pengukur amalan rasuah dalam kalangan pelabur asing sebelum membuat penilaian terhadap sesebuah negara.

Katanya, CPI masih dianggap relevan bagi pelabur kerana ia merupakan kaedah yang masih diguna pakai kebanyakan negara untuk mengukur amalan rasuah.

"Penurunan ini akan dijadikan sebagai petunjuk kononnya kerajaan sedang kalah melawan rasuah dan ini boleh jejaskan keyakinan pelabur" katanya kepada MalaysiaNow.

"Ini akan dianggap sebagai situasi yang ‘tidak menguntungkan’ melainkan pelabur itu sendiri tahu situasi sebenar atau komitmen kerajaan memerangi jenayah rasuah.”

Menurut beliau, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk memberi gambaran yang lebih positif pelabur asing kembali yakin untuk melabur ke Malaysia.

"Sama ada survei berdasarkan bukti atau persepsi, kerajaan perlu pastikan kedudukan dan skor terus meningkat.

"Ini akan memberi petunjuk kepada pelabur bahawa kerajaan komited membanteras rasuah dan situasi ini akan menarik kembali perhatian pelabur," tambahnya.