- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Balu Daim bidas SPRM beku aset sebagai 'perbuatan mencuri', ikrar tidak akan tunduk kepada buli

Perkembangan itu di sebalik keputusan kontroversi Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk sekali lagi mengekalkan Azam Baki sebagai ketua badan anti rasuah.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Naimah Khalid, balu kepada Daim Zainuddin, berkata arah suaminya masih menjadi sasaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Naimah Khalid, balu kepada Daim Zainuddin, berkata arah suaminya masih menjadi sasaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Balu Allahyarham Daim Zainuddin hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset hartanah di luar negara dan melahirkan rasa terkejut tidak dimaklumkan mengenai permohonan mahkamah mengenainya, ketika pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat masih menyasarkan bekas menteri kewangan itu yang meninggal dunia lebih enam bulan lalu.

Na'imah Khalid berkata beliau hanya mendapat tahu mengenai pembekuan aset milik keluarganya di luar negara melalui laporan media.

"SPRM mendapatkan perintah ex parte ini secara rahsia, dalam senyap di sebalik pintu tertutup, dan saya tidak pernah diberi peluang bersuara," katanya dalam kenyataan, menyifatkan langkah terbaharu itu sebagai dendam dan bermotifkan politik.

"Sepatutnya saya dibenarkan membela diri di mahkamah. Tidak sesiapa pun yang munasabah akan mengatakan ia berlandaskan keadilan atau keadilan semula jadi. Mereka mendapat perintah itu melalui serangan hendap."

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM untuk membekukan aset bernilai lebih RM750 juta milik Na’imah dan keluarganya di United Kingdom.

Langkah terbaharu itu di sebalik keputusan kontroversi Anwar untuk sekali lagi melanjutkan kontrak Azam Baki menerajui SPRM. Anwar telah mempertahankan keputusan itu dengan memuji Azam sebagai "berani" melawan rasuah.

Bulan lalu, Azam dikecam bermain politik selepas kenyataannya mendakwa menerima "maklumat baharu" melibatkan aset "bernilai tinggi" yang dikaitkan dengan Daim dan keluarganya, di mana lapan siasatan baharu dilancarkan SPRM.

Tindakan itu dilakukan meskipun pertuduhan berkait pengisytiharan aset terhadap Daim digugurkan sejurus selepas kematiannya.

"Ini tindakan pengecut, kerana Daim tidak lagi berupaya membela diri atau keluarganya,” kata peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh yang mewakili Na’imah dan keluarganya.

Beberapa bulan sebelum kematiannya pada November lalu, Daim yang semakin uzur keadaan kesihatannya menjadi sasaran serangan Anwar, yang mendakwa bekas menteri kewangan itu mengumpul kekayaan secara haram, iaitu tuduhan yang kerap dilakukan oleh perdana menteri terhadap musuh politiknya.

Bagaimanapun, siasatan SPRM terpalit kontroversi susulan pendedahan oleh Bloomberg bahawa ia dilancarkan akibat tekanan Anwar terhadap Azam.

Dalam kenyataannya hari ini, Na'imah menyifatkan pembekuan aset oleh SPRM sebagai "pencabulan mengejutkan terhadap norma undang-undang yang paling asas".

"Hakikatnya, tidak ada peruntukan undang-undang yang membenarkan permohonan ex parte itu dibuat. Kini mereka berselindung di bawah undang-undang untuk menghalalkan sesuatu yang tak ubah daripada kecurian berinstitusi," katanya.

"Tidak boleh diterima perkara ini berlaku di Malaysia. Pembekuan harta oleh kerajaan tanpa notis kepada pemilik sah merupakan duluan yang berbahaya."

Na'imah sekali menegaskan tindakan terhadap Daim dan keluarganya merupakan rentetan "kempen fitnah yang panjang dan berterusan" oleh Anwar dan Azam sejak akhir 2022.

"Yang paling membimbangkan dan mengejutkan ialah ia dilakukan walaupun
tanpa apa-apa perbuatan jenayah dibuktikan terhadap Daim," tambahnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada agensi kerajaan kini boleh bertindak berlandaskan "khabar angin dan permusuhan politik".

"Sempadan telah dilanggar. Dan jika kita tidak melawan, mungkin tidak akan ada lagi sempadan, dan tidak ada rakyat Malaysia yang terlindung daripada kuasa yang tidak terkawal. Saya tidak akan tunduk kepada pembuli. Kebenaran dan keadilan akan ditegakkan.

“Kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa, ingatlah Surah Ash Syura 42-42,” katanya merujuk ayat Al-Quran yang memberi amaran kepada pemerintah yang menzalimi orang lain.