- Iklan -
Berita

Kerajaan perlu laksanakan subsidi bersasar, kata MPN

Muhyiddin Yassin berkata lebih 50% daripada jenis-jenis subsidi yang disediakan kerajaan turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Subsidi bersasar dapat membantu meringankan beban keluarga B40 dan B50. 
Subsidi bersasar dapat membantu meringankan beban keluarga B40 dan B50. 

Terdapat keperluan untuk kerajaan berbincang dan membentuk semula pemberian subsidi yang dilaksanakan selama ini bagi memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak dapat menikmatinya, kata Majlis Pemulihan Negara (MPN). 

Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata lebih 50% daripada jenis-jenis subsidi yang disediakan kerajaan turut dinikmati oleh golongan rakyat berpendapatan tinggi. 

Sebelum ini di Parlimen, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang merangka mekanisme subsidi bersasar bagi membolehkan tiada sesiapa pun dalam kelompok yang memerlukan tercicir daripada menikmati subsidi-subsidi yang disediakan. 

Bagaimanapun, katanya, pelan dan kaedah pelaksanaan sedang diteliti bagi menjamin matlamat dan kepentingannya tercapai untuk rakyat Malaysia. 

Atas sebab itu, kata Muhyiddin, langkah-langkah segera perlu diambil supaya golongan rakyat seperti keluarga B40 dan B50 dapat menerima manfaat. 

"Maka kesan kepada inflasi ini juga dapat kita kurangkan. Itu antara perkara yang kita bincangkan tadi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini situasi di hospital yang dilaporkan mengalami penggunaan katil yang tinggi akibat peningkatan kes Covid-19 dan lain-lain kes kecemasan Muhyiddin berkata, wakil Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu MPN keadaan semasa di hospital-hospital awam masih terkawal. 

Katanya, meskipun terdapat sedikit peningkatan kes tetapi ianya tidak mengganggu segala usaha yang sedang dibuat untuk mengawal penularan jangkitan tersebut. 

"Pengalaman lebih dua tahun menguruskan Covid-19 ini memberikan mereka banyak pengajaran dan mereka sudah ambil seberapa banyak perlu dan kita harap tak ulang balik cerita-cerita dahulu," katanya.