- Iklan -
Berita

Putrajaya ambil langkah berjimat tangani kenaikan kos subsidi

Penjadualan semula program kerajaan dan had baru elaun perkhidmatan awam adalah antara langkah yang diambil.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan menyenaraikan langkah penjimatan dalam usaha menangani kenaikan kos subsidi. Gambar: Bernama
Kerajaan menyenaraikan langkah penjimatan dalam usaha menangani kenaikan kos subsidi. Gambar: Bernama

Putrajaya bakal melaksanakan pelbagai langkah penjimatan termasuk menyusun semula semula program kerajaan, selain pemotongan dalam pemerolehan aset seperti perabot dan kenderaan rasmi, susulan kos bantuan dan subsidi negara yang kini mencecah RM77.7 bilion - lebih sekali ganda daripada belanjawan pada 2022.

Pekeliling Perbendaharaan Malaysia yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendahaan Kementerian Kewangan Asri Hamidon itu turut menyenaraikan garis panduan berhubung perbelanjaan dan pengurusan kewangan agensi kerajaan, mengatakan ia berhasrat “mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.”

Menurutnya, kerajaan telah berbelanja sejumlah RM530 bilion bagi menangani impak inflasi dunia, namun ketidaktentuan dan ketegangan geopolitik telah menyebabkan inflasi sekali gus menjejaskan harga makanan dan komoditi.

Beliau berkata situasi tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk melaksanakan subsidi barangan dan kawalan harga bagi berangan keperluan termasuk petroleum, minyak masak, elektrik dan ayam.

"Perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

“Dengan itu, kerajaan seharusnya melaksanakan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat."

Senarai langkah-langkah tersebut melibatkan kos operasi badan kementerian, jabatan agensi, badan berkanun dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) di mana mereka perlu menyusun aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan.

Garis panduan itu turut tidak membenarkan pewujudan jawatan baru kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran dan “tiada implikasi kewangan tambahan.”

Ia juga menetapkan pewujudan jawatan baru bagi sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kutipan hasil negara perlu dilaksanakan dengan kawalan ketat.

Penubuhan badan berkanun, CLBG atau entiti baru juga tidak dibenarkan dalam garis panduan itu.

Perbelanjaan untuk bayaran atau elaun kerja lebih masa juga perlu dijawal di mana ketua jabatan atau agensi perlu berpuas hati ia “benar-benar penting” untuk disiapkan ayau dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pertukaran pegawai ke luar stesyen juga turut ditetapkan supaya ditangguhkan kecuali dalam keadaan “tertentu dan mendesak,” selain menetapkan perjalanan bagi tugasan hanya dihadkan kepada yang “benar-benar perlu sahaja” dan dengan kaedah perjalanan yang menjimatkan dan tiket penerbangan murah atau kelas ekonomi perlu digunakan.

Dalam pada itu, ia juga menetapkan pelancaran kempen, promosi perlu dibuat secara sederhana dan bersesuaian dengan kumpulan sasar selain perlu memastikan ia memberi pulangan atau impak kepada kerajaan.

Kementerian, jabatan dan agensi juga turut digalakkan untuk membuat kempen secara dalam talian bagi mengurangkan perbelanjaan.

Program penajaan juga perlu dikurangkan dan dikaji semula selepas kontrak tamat.

Bagi mengawal perbelanjaan pembangunan, projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan hendaklah dikaji semula keutamaannya dan projek bukan keutamaan perlu ditangguhkan kecuali ia mempunyai impak kepada kesejahteraan rakyat.

Kementerian dan agensi kerajaan juga perlu memantau perjalanan setiap projek  bagi memastikan ia disiapkan megikut jadual yang telah ditetapkan.

Pembelian dan pemerolehan barangan import  juga tidak dibenarkan melainkan ia tidak boleh didapati di pasaran temapatan dan ia memang benar-benar mendesak.

Selain itu, badan berkanun juga perlu memberi keutamaankepada pelaburan domestik.

“Sebarang pelaburan yang melibatkan pengaliran tunai ke luar negara, tidak termasuk yang telah mempunyai komitmen, kontrak serta jadual pembayaran, hendakah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.”