- Iklan -
Berita

Ahli ekonomi jelaskan siapa bakal terbeban jika OPR dinaikkan

Bagaimanapun, mereka berkata kadar dasar semalaman sebanyak 2.25% ketika ini masih rendah berbanding 2019 pada kadar 3.25%.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Bank Negara Malaysia dijangka akan terus menaikkan kadar dasar semalaman pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari akan datang.
Bank Negara Malaysia dijangka akan terus menaikkan kadar dasar semalaman pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari akan datang.

Orang ramai boleh menjangkakan peningkatan kos pinjaman susulan jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat, kata beberapa penganalisis ekonomi.

Mereka berkata, peningkatan ini dijangka akan memberi kesan serba sedikit terutamanya kepada golongan pendapatan rendah (B40) dan pendapatan sederhana (M40) apabila bayaran ansuran pinjaman bank terutama pinjaman rumah akan menyaksikan kenaikan.

Namun begitu, pakar ekonomi, Barjoyai Badai berkata, kenaikan ini masih boleh dihadapi peminjam golongan itu memandangkan kadar OPR pada masa ini iaitu 2.25% masih rendah berbanding paras yang dicatatkan pada 2019 iaitu 3.25%.

Pada 7 Julai 2020 ketika negara sedang menghadapi ancaman penularan Covid-19, BNM menurunkan kadar OPR ke paras 1.75% iaitu paras terendah direkodkan dalam sejarah dan ia kekal sehingga  11 Mei 2022 apabila kadar itu dinaikkan sebanyak 25 mata asas atau 0.25% kepada 2.00% sebelum dinaikkan sekali lagi pada 6 Julai lalu kepada 2.25%.

Barjoyai berkata, ramai dalam kalangan ahli ekonomi juga menjangkakan kenaikan OPR dalam masa terdekat sebagai strategi BNM menangani inflasi seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin pulih menuju ke arah prestasi yang lebih kukuh.

Beliau juga menjangkakan OPR akan dinaikkan sebanyak tiga kali pada masa hadapan.

"Sekarang keadaan ekonomi semakin baik dan apabila ekonomi meningkat, kecairan (tunai) dalam pasaran akan bertambah dan jika ia tidak terkawal, ini akan menyebabkan inflasi secara meluas," katanya kepada MalaysiaNow

"Sebab itu, bank pusat akan guna instrumen monetari untuk menyedut kecairan dari pasaran untuk mengurangkan tekanan permintaan."

Dalam pada itu, ramai turut mempersoalkan keputusan BNM menaikkan kadar OPR meskipun Malaysia mencatatkan kadar inflasi antara terendah di dunia iaitu pada kadar 2.8%, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapha Mohamed pada 27 Jun lalu menjelaskan kadar inflasi Malaysia berada di paras itu disebabkan unjuran subsidi sehingga RM80 bilion oleh kerajaan bagi menstabilkan harga barang.

Menurutnya, langkah ini juga bagi mengelak kadar inflasi melonjak sehingga 11.4%.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, berkata tekanan harga barangan dijangka akan berterusan untuk tempoh beberapa bulan akan datang disebabkan beberapa faktor termasuk krisis antara Ukraine dan Rusia yang masih berterusan selain penamatan sekatan pergerakan di China yang akan mendorong kebangkitan ekonomi negara itu.

"Jadi saya lihat ini antara faktor yang akan memberi tekanan terhadap barangan tempatan dan menyebabkan keperluan menaikkan lagi OPR," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

"Disebabkan paras OPR masih rendah berbanding 2019, masih ada ruang untuk kenaikan lagi."

Menjelaskan impak positif dan negatif bagi kenaikan OPR, Razman berkata, ia akan menyebabkan kos pembiayaan meningkat manakala perbelanjaan individu dan perniagaan akan berkurangan, malah menggalakkan lagi penyimpanan dalam bank ekoran kadar faedah bulanan yang lebih tinggi.

Katanya, apabila berlaku kurang perbelanjaan, permintaan terhadap barangan akan menyusut dan keadaan boleh mendorong penurunan harga barangan.

"Pada masa sama, jika kenaikan OPR dilaksanakan secara berterusan dan mencatatkan peningkatan mendadak, ia boleh menyebabkan rakyat terbeban dengan komitmen bulanan yang lebih tinggi.

"Antara yang paling terkesan mereka yang membuat pinjaman rumah disebabkan kadar yang berubah. Pinjaman kereta tidak terkesan," tambah beliau.

Sebagai contoh, Barjoyai menjelaskan, apabila kadar faedah meningkat 25 mata asas, ansuran bagi pinjaman RM200,000 akan meningkat sebanyak RM60 sebulan.

Justeru, peningkatan OPR yang telah berlaku sebanyak dua kali pada Mei lalu dan Julai menyebabkan bayaran ansuran meningkat sebanyak RM120.

"Namun begitu, ada cara untuk mengelakkan kenaikan ini.

"Jika peminjam membuat pinjaman rumah melalui sistem kewangan Islam, ia dapat mengelakkan kenaikan apabila sistem ini akan kunci pada satu kadar yang telah ditetapkan semasa pinjaman dibuat," kata beliau.

Ditanya sama ada kenaikan OPR akan memberi sebarang impak terhadap harga rumah atau sewa, Barjoyai menjelaskan lebih menjurus ke arah faktor permintaan dan penawaran.

"Apabila permintaan menurun, harga rumah dan sewa akan turun. 

"Jika pemilik rumah menaikkan kadar sewa, sudah tentu penyewa akan keluar. Begitu juga dengan harga rumah, apabila ia meningkat, pembeli mungkin tak jadi beli," katanya.