- Iklan -
Berita

Mahkamah AS benarkan warga bawa senjata api di kawasan awam

Keputusan itu membatalkan undang-undang New York yang menggariskan seseorang perlu membuktikan mereka mempunyai keperluan mempertahankan diri untuk menerima permit senjata untuk dibawa keluar dari kawasan rumah.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis berkawal di bangunan Mahkamah Agung AS di Washington pada 20 Jun 2022. Gambar: AFP
Anggota polis berkawal di bangunan Mahkamah Agung AS di Washington pada 20 Jun 2022. Gambar: AFP

Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) semalam memutuskan rakyat negara itu mempunyai hak untuk membawa senjata api di kawasan awam, keputusan penting yang dibuat hanya beberapa minggu selepas satu lagi kejadian tembakan rambang di sebuah sekolah di negara itu.

Keputusan 6-3 itu membatalkan undang-undang New York yang menggariskan seseorang perlu membuktikan mereka mempunyai keperluan mempertahankan diri untuk menerima permit senjata untuk dibawa keluar dari kawasan rumah.

Lima negeri lain, termasuk California dan Washington, mempunyai undang-undang serupa dan keputusan itu akan menyekat kerajaan untuk menghalang orang ramai daripada membawa senjata di kawasan awam.

Presiden Joe Biden mengecam keputusan tersebut, mengatakan ia “bercanggah baik dari sudut logik akal dan Perlembagaan, perkara ini sepatutnya membimbangkan kita semua.”

“Kita mesti tingkatkan usaha sebagai sebuah masyarakat bagi melindungi rakyat Amerika,” kata Biden.

“Saya menyeru rakyat Amerika di seluruh negara untuk bersuara mengenai keselamatan senjata api.”

Walaupun desakan semakin meningkat supaya penggunaan senjata api dihadkan selepas dua kejadian tembakan rambang pada Mei, mahkamah tetap berpihak kepada peguam bela yang mengatakan Perlembagaan AS menjamin hak untuk memiliki dan membawa senjata.

Ia adalah keputusan pertama oleh mahkamah dalam kes Pindaan Kedua sejak 2008 di mana keputusan sebelum ini menetapkan warga Amerika mempunyai hak untuk menyimpan senjata api di rumah bagi mempertahankan diri.

Keputusan itu dilihat sebagai kemenangan bagi kumpulan lobi senjata api Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA).

“Keputusan hari ini adalah kemenangan besar untuk lelaki dan wanita di seluruh Amerika dan ia adalah hasil perjuangan yang diterajui NRA sejak berdekad lalu,” kata Naib Presiden NRA, Wayne LaPierre dalam satu kenyataan.

“Hak untuk mempertahankan diri dan untuk membela keluarga dan orang tersayang anda tidak sepatutnya berakhir di rumah anda.”