- Iklan -
Berita

GRS ada cara sendiri satukan parti tempatan di Sabah, kata Hajiji

GRS sedang meneliti kemasukan parti-parti tempatan Sabah ke dalam gabungan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Semua pihak perlu memberikan ruang secukupnya kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menimbang kemasukan parti tempatan di negeri itu ke dalam gabungan politik tersebut.

Pengerusinya Hajiji Noor berkata GRS sedang menimbang perkara itu dengan teliti sebelum membuat keputusan sama ada menerima parti terbabit atau sebaliknya.

“Kita mempunyai perancangan di dalam GRS, bagilah peluang, bukan terus kita (terima kemasukan parti),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Koko Sabah 2022 semalam.

Ketua menteri Sabah itu berkata GRS juga mempunyai cara tersendiri dalam usaha menyatukan parti tempatan bagi memastikan semua pihak dapat bersama duduk semeja membangunkan Negeri Di Bawah Bayu.

Semalam, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Ewon Benedick mempersoal “cakap-cakap” GRS mahu menyatukan semua parti politik tempatan Sabah namun tidak menerima keanggotaan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Demokratik Liberal (LDP).

GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negeri itu.