- Iklan -
Berita

Pertubuhan swasta gesa Putrajaya percepat kemasukan pekerja Bangladesh

Menurut PAPSMA, kebanyakan industri terutama perladangan serta perusahaan kecil dan sederhana berdepan kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing dipercayai warga Bangladesh, sedang bekerja di sebuah pasar raya Kuala Lumpur.
Pekerja asing dipercayai warga Bangladesh, sedang bekerja di sebuah pasar raya Kuala Lumpur.

Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa kerajaan agar mempercepat proses kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini.

Presiden PAPSMA Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata ini kerana kebanyakan industri terutama perladangan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19.

“Kekurangan tenaga kerja di Malaysia boleh dianggap melebihi dua juta pekerja asing dalam sektor yang kurang diminati oleh pekerja tempatan seperti pembuatan, pembinaan dan 3D (kotor, bahaya dan sukar),” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dalam kenyataan pada Februari lepas memaklumkan bahawa Malaysia mengalami kerugian sehingga RM1 bilion kerana buah kelapa sawit tidak dapat dituai mengikut masa yang sepatutnya akibat kekurangan pekerja asing yang telah pulang ke negara masing-masing dalam tempoh tiga tahun lepas.

“Oleh itu, PAPSMA memohon jasa baik jawatankuasa Kabinet pekerja asing yang akan bersidang untuk meluluskan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh melalui dasar yang telah digariskan oleh kerajaan Malaysia ,” katanya.

“Peluang untuk membawa masuk pekerja asing ini haruslah meliputi kesemua ahli-ahli BAIRA (Pertubuhan Ejen Rekrutmen Antarabangsa Bangladesh) dan bukan hanya segelintir agensi seperti yang dilaung-laungkan baru-baru ini,” katanya.

Fairouz berkata PAPSMA tidak lagi berkeinginan untuk kembali ke era tahun 2015 hingga 2017 yang menyaksikan akibat hanya 10 agensi pekerjaan Bangladesh yang dipilih telah menyebabkan banyak masalah dan kerumitan sehingga kerajaan Malaysia terpaksa membatalkan kemasukan pekerja dari negara itu pada 2017.

Beliau berkata pihaknya juga kurang faham mengapa hanya Bangladesh yang memerlukan agensi khas bagi tujuan kemasukan pekerja mereka sedangkan negara itu jatuh dalam kategori negara sumber sejak beberapa tahun lepas.

“PAPSMA ingin menyelar ejen-ejen haram yang kini berkeliaran di Malaysia mencari peluang untuk menipu majikan dan pekerja bagi memenuhi hasrat mengaut keuntungan daripada pekerja yang miskin dan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar kos pengrekrutan yang tinggi dan mereka akhirnya terpaksa meminjam dan berhutang di negara mereka untuk bekerja di Malaysia,” katanya.

Pada 10 Disember tahun lepas, Kabinet telah meluluskan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor selain perladangan dan langkah Malaysia menandatangani memorandum persefahaman untuk mengambil pekerja dari Bangladesh.