- Iklan -
Berita

Pakar ekonomi beri amaran berhubung campur tangan kerajaan tangani harga melambung

Mereka berkata ia hanya akan menyebabkan ketidakcekapan pasaran.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan menunggu tempahan barang yang dibeli di Pasar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur.
Pelanggan menunggu tempahan barang yang dibeli di Pasar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur.

Pakar ekonomi mengingatkan kerajaan berhubung desakan supaya kerajaan campur tangan dalam pasaran, walaupun pengguna bergelut dengan kenaikan harga bagi barangan dan perkhidmatan, termasuk khidmat e-hailing dan ayam.

Rungutan ramai mengenai kenaikan harga barang mentah bermula sejak dua bulan lalu sehingga memuncak pada musim perayaan, selain harga tiket kapal terbang yang melambung sehingga memberi kesan kepada yang ingin pulang beraya.

Terbaru, harga ayam dan caj syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab, menjadi topik hangat. 

Harga ayam mencecah RM12 sekilogram di sesetengah pasar. 

Bagi Grab pula, harga perkhidmatan mampu mencecah RM40 pada waktu puncak, berbanding RM17 pada waktu biasa untuk perjalanan dalam jarak yang sama.

Usaha kerajaan mengawal harga bukan perkara baru. 

Pada setiap musim perayaan, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menetapkan harga kawalan untuk barangan tertentu.

Namun bagi ahli ekonomi, kawalan harga bukan solusi yang terbaik dalam menangani masalah harga barang. 

Barjoyai Bardai dari UniRazak berkata, semua bentuk campur tangan dalam pasaran termasuk kawalan harga akan menyebabkan pasaran menjadi tidak cekap. 

“Harga ayam pun kita cuba kawal, tapi ia sangat mudah dimanipulasi apabila pengeluar tidak menawarkan bekalan dalam pasaran, harga akan melonjak tinggi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tetapi dalam pasaran gelap, pengguna akan dapatkan juga ayam tak kira harga kerana mereka memerlukan komoditi itu.”

Ia turut dipersetujui Adillah Zafirah dari Iris Institute. 

Katanya, pasaran gelap akan bertambah dengan adanya mekanisme kawalan harga, walaupun ia mampu melindungi pengguna daripada eksploitasi harga oleh pengeluar. 

“Bagi campur tangan kerajaan yang efektif dan lestari, kena fahami penawaran dan bekalan dalam pasaran. Dalam isu bekalan ayam, sudah lama isu ini berlarutan. 

“Sepatutnya kerajaan memainkan peranan dalam keseluruhan sistem rantaian bekalan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini turut memansuhkan permit import (AP) bagi membolehkan lebih banyak syarikat mengimport makanan dari luar negara. 

Ia diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob susulan laporan bekalan tidak mencukupi.

Namun Barjoyai berkata, import merupakan langkah jangka masa pendek kerana harga barang akan meningkat semula susuran faktor kadar tukaran wang. 

Dalam pada itu, dalam isu harga tiket kapal terbang, Barjoyai berkata harga yang terlalu tinggi mungkin berlaku kerana tidak ramai pemain industri yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Kalau kita buka kepada syarikat luar, mungkin berlaku persaingan dan harga tiket mampu turun. 

“Sudah tentu syarikat tempatan akan mendakwa langkah ini bakal membunuh mereka, tetapi isunya adakah syarikat-syarikat ini juga hendak mengeksploitasi pelanggan mereka?” katanya.

Perkara sama juga berlaku kepada perkhidmatan e-hailing yang mana syarikat Grab mempunyai bahagian pasaran yang luas sehingga hampir mencapai tahap monopoli. 

Ia membolehkan syarikat itu menetapkan harga mengikut kehendak mereka. 

Peningkatan itu, menurut syarikat tersebut ialah disebabkan permintaan yang tinggi selain jumlah pemandu yang tidak mampu menampung jumlah pesanan.

Adillah berkata, solusi lestari ialah meningkatkan bekalan dalam pasaran. 

Bagi Barjoyai, kerajaan perlu mengubah kedalaman industri. 

“Industri yang terlalu cetek mengakibatkan ia dikawal beberapa kartel.

“Bagaimana kita boleh benarkan 12 syarikat mengawalkan bekalan ayam seluruh Malaysia? Ini sangat membimbangkan,” katanya.