- Iklan -
Berita

Siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan tidak ikut Perlembagaan, kata badan peguam

Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah Yee Lynn berkata siasatan itu melanggar doktrin pengasingan kuasa dan menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Gambar: Bernama
Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Gambar: Bernama

Badan Peguam Malaysia berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Presidennya Karen Cheah Yee Lynn berkata siasatan itu melanggar doktrin pengasingan kuasa dan juga menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Dalam satu kenyataan beliau berkata “ada mekanisme ditetapkan bagi menangani isu ini dan… sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat sebagai menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

“Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyediakan cara khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman ditangani dalam suatu cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman berterusan.

“Tanpa keyakinan yang diperlukan diterapkan kepada badan kehakiman sebagai sebuah institusi, pentadbiran sistem kehakiman tidak akan mendapat penghormatan dan penerimaan yang penting terhadap keberkesanan operasinya dalam pentadbiran kehakiman kita,” katanya.

Hakim Nazlan telah membuat satu laporan polis pada 21 April berhubung artikel berita disiarkan portal Malaysia Today yang mendakwa beliau sedang disiasat berhubung pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata Nazlan menafikan “tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat” yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim Mahkamah Rayuan.

Pejabat itu memandang serius tuduhan serta komen sedemikian, dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan untuk mengganggu gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

Cheah berkata orang ramai tidak jelas mengenai siapa yang membuat laporan itu, atau bila laporan seperti itu dibuat.

“Apa yang jelas kepada Badan Peguam Malaysia ialah tidak sepatutya terdapat pilih kasih oleh pihak berkuasa dalam menangani isu yang sama – dan berdasarkan kepada asas ini, kami mendesak siasatan yang sama dijalankan oleh pihak polis terhadap laporan yang dibuat Nazlan terhadap dakwaan yang dibangkitkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Raja Petra Kamarudin dalam blognya, Malaysia Today pada 20 April 2022,” katanya.

Cheah berkata Badan Peguam Malaysia sedar sepenuhnya bahawa badan kehakiman tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk mengambil langkah bagi melindungi dirinya, dengan melibatkan dirinya dalam perbicaraan oleh media atau mana-mana bentuk kontroversi awam.

“Sebab itulah terdapat satu keperluan untuk Badan Peguam Malaysia untuk melindungi maruah dan intergriti mahkamah dan badan kehakiman secara keseluruhannya, memandangkan sifat badan itu yang sentiasa tidak dapat mempertahankan diri daripada kritikan atau tuduhan liar yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

“Kami meminta pendekatan berhati-hati oleh pihak berkuasa kita, dan tidak terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang dibuat oleh jaguh siber,” katanya.

Pada 23 April lepas akhbar The Star menyiarkan satu laporan ekskusif yang menyatakan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap hakim Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya, berikutan laporan yang dibuat berkaitan perkara itu.