- Iklan -
Berita

Hakim Mahkamah Rayuan lapor polis berhubung dakwaan artikel laman sesawang berita

Hakim Mohd Nazlan menyifatkan kandungan artikel tersebut tidak berasas serta berniat jahat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Gambar: Bernama
Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Gambar: Bernama

Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis berhubung satu artikel diterbitkan sebuah portal berita yang mendakwa beliau disiasat mengenai kemasukan duit ke dalam akaun banknya.

Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata laporan polis itu dibuat agar siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Kenyataan itu memaklumkan, artikel itu disiarkan oleh portal Malaysia Today bertajuk “Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account” bertarikh 20 April.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menafikan tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat itu, yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman,” menurut kenyataan itu.

Pejabat itu memandang serius tuduhan serta komen sedemikian, dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

Pada 28 Julai 2020, Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri Najib Razak selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta.

Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu.