- Iklan -
Berita

Kerajaan, PH akan sokong pindaaan RUU anti lompat parti

Sidang khas akan diumumkan perdana menteri bagi membentang, membahas dan meluluskan undang-undang berkaitan RUU tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan memerlukan  57 sokongan ahli Parlimen lagi selepas Pakatan Harapan menjamin 90 ahli Parlimennya akan menyokong RUU anti lompat parti. Gambar: Bernama
Kerajaan memerlukan 57 sokongan ahli Parlimen lagi selepas Pakatan Harapan menjamin 90 ahli Parlimennya akan menyokong RUU anti lompat parti. Gambar: Bernama

Kerajaan dan pembangkang Pakatan Harapan (PH) hari ini sepakat untuk menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meluluskan undang-undang berkaitan lompat parti, susulan pengumuman rang undang-undang (RUU) berhubung isu itu tidak akan dibentangkan pada 11 April ini.

Pengerusi bersama jawatankuasa itu Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baru berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

“Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April 2022,” kata kenyataan yang ditandatangani secara bersama itu.

Mereka berkata, sidang khas bagi membentang, membahas dan meluluskan RUU tersebut akan diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat sementara sidang khas pada 11 dan 12 April akan diadakan bagi membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Pertemuan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan berdasarkan MoU persefahaman kerajaan dan PH adalah berikutan pengumuman Wan Junaidi yang juga menteri undang-undang bahawa RUU anti lompat parti tidak akan dibentangkan pada sesi khas Parlimen Isnin ini.

Menurut Wan Junaidi ia diputuskan supaya kajian dapat dibuat berkaitan takrif “lompat parti”.

Dua hari lalu, PH memberikan jaminan bahawa 90 ahli Parlimennya akan menyokong RUU pindaan Perlembagaan bagi menghalang ahli politik melompat parti.

Bagi meluluskan RUU tersebut, kerajaan perlu mengumpulkan 57 atau lebih sokongan ahli Parlimen bagi membentuk majoriti di Dewan Rakyat.