- Iklan -
Berita

Malaysiakini gagal dalam permohonan batal sabitan hina mahkamah

Panel tujuh hakim memutuskan bahawa hujah yang dibangkitkan dalam prosiding semakan hari ini dikemukakan dalam prosiding komital di hadapan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Editor Malaysiakini Steven Gan bersama peguam di Istana Kehakiman Putrajaya tahun lalu. Gambar:Bernama
Editor Malaysiakini Steven Gan bersama peguam di Istana Kehakiman Putrajaya tahun lalu. Gambar:Bernama

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Malaysiakini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati portal berita dalam talian itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Panel yang diketuai hakim Zaleha Yusof memutuskan bahawa hujah yang dibangkitkan dalam prosiding semakan hari ini oleh peguam Malaysiakini Malik Imtiaz Sarwar telah dikemukakan dalam prosiding komital di hadapan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan telah dipertimbangkan.

Beliau berkata hujahan yang dibangkitkan oleh peguam gagal untuk meyakinkan mahkamah berhubung isu berkaitan dakwaan pelanggaran keadilan asasi.

Hakim Zaleha berkata memandangkan perkara itu adalah kes kepentingan awam, mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah mengenai kos.

Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah. Prosiding itu dijalankan secara dalam talian.

Pada 19 Februari 2021 dalam keputusan majoriti 6-1, Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca dan syarikat itu diarah membayar denda RM500,000.

Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda itu.

Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk  memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini serta Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mendapati Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu.