- Iklan -
Berita

Jalan sukar dari pindaan Perlembagaan ke perubahan sebenar hak Sabah dan Sarawak

Pemerhati mengatakan perubahan Perlembagaan sahaja tidak akan dapat memulihkan hak Sabah dan Sarawak.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Kakitangan Majlis Perbandaran Kota Kinabalu mengangkat Jalur Gemilang bersama bendera Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia tahun lalu. Gambar: Bernama
Kakitangan Majlis Perbandaran Kota Kinabalu mengangkat Jalur Gemilang bersama bendera Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia tahun lalu. Gambar: Bernama

Walaupun pindaan Perlembagaan untuk memperkasakan Sabah dan Sarawak diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat akhir tahun lalu, pemerhati politik berkata usaha perlu dibuat melebihi semakan semula terhadap dokumen undang-undang bagi menyaksikan perubahan sebenar dalam isu terbabit.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 diluluskan dengan majoriti dua pertiga selepas bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 14 Disember – ia merupakan kali kedua ahli Parlimen sebulat suara menyokong RUU untuk meminda Perlembagaan, selepas RUU Undi 18 pada 2019.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU itu membuktikan Sarawak mempunyai status istimewa dalam persekutuan dan akan membantu mengembalikan semula hak ekonomi dan wilayahnya, terutama dalam empat bidang utama yang tidak boleh dirunding: hak imigresen, hak cukai, hak perlindungan dalam benua, dan kedaulatan negeri di kawasan perairannya.

Bagaimanapun, penganalisis Sarawak James Chin berkata perubahan dalam Perlembagaan sahaja tidak akan dapat mencapai banyak perkara.

“Dari segi MA63, saya rasa ia tidak boleh dilakukan terutama empat perkara terakhir,” katanya merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata kerajaan negeri “mendesak” kerajaan persekutuan kerana ia mengambil sebahagian besar tanah di Sarawak bagi pembangunan awam.

Bagaimanapun, katanya, tiada apa-apa yang berlaku.

Pemerhati veteran Sarawak Jayum Jawan bersetuju perubahan besar masih belum dapat dilihat.

“Dasar tidak berubah hanya disebabkan parti kerajaan menempuh pilihan raya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ia juga tidak berubah jika pemimpin atau menteri ditukar, atau satu atau dua orang digugurkan atau dilantik menganggotai Kabinet.”

Walaupun kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Abang Johari Openg berusaha mengeluarkan konsesi dengan mengubah undang-undang berkaitan MA63, namun Jayum mengatakan peranan Sarawak selepas perubahan tersebut masih belum dapat dilihat atau dirasai oleh rakyat negeri itu sendiri.

Sabah dan Sarawak sudah lama dilihat mengalami kehilangan hak istimewa wilayahnya.

Ramai yang berharap dengan pindaan Perlembagaan baru-baru ini akan membuka jalan untuknya bagi memulihkan hak-hak Borneo dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, pakar bersetuju bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan.

“Di bawah tujuh undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan tujuh undang-undang perbandaran perlindungan Sarawak, banyak perkara yang perlu dipinda dan dimansuhkan,” kata pakar undang-undang Sarawak Alex Ying.

Namun untuk membuat perubahan tersebut juga bukan mudah kerana pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak memegang kira-kira 25% dari 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Sabah mempunyai 25 ahli Parlimen manakala Sarawak mempunyai 31.

Ying berkata kerajaan persekutuan harus mengembalikan bacaan asal Perkara 46 dalam Perlembagaan bagi memastikan jumlah perwakilan yang saksama.

Mengikut bacaan asal, negeri-negeri semenanjung atau Tanah Melayu dan wilayah persekutuan tidak boleh memegang lebih dari 65.4% kerusi Parlimen.

Bagaimanapun Wan Junaidi memaklumkan kepada MalaysiaNow Putrajaya tidak boleh meminda undang-undang tersebut kerana semakan jumlah kerusi hanya dijalankan sekali dalam tempoh tujuh tahun.

“Semakan pengagihan (kerusi) terakhir bagi Sarawak dilaksanakan pada 2015, dan untuk Sabah pada 2017,” katanya.

“Ini bermakna Sarawak hanya boleh menambah kerusinya pada 2023.”

Wan Junaidi juga berkata baik Perlembagaan mahupun MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 atau Suruhanjaya Cobbold menyatakan Sabah dan Sarawak mesti memegang satu pertiga daripada kerusi Parlimen.

“Kerusi satu pertiga hanya disebut dalam laporan IGC,” tambahnya.

“Ia menyatakan bahawa nisbah bilangan kerusi yang diperuntukkan untuk Sarawak dan Sabah harus dikekalkan.”