- Iklan -
Berita

Kes jangkitan sporadik di Sabah meningkat

Kadar jangkitan sporadik meningkat kepada 71.18% daripada keseluruhan 2,717 kes positif baru yang dicatatkan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memeriksa hasil keputusan ujian saringan swab RTK-Antigen Covid-19 di sebuah klinik. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan memeriksa hasil keputusan ujian saringan swab RTK-Antigen Covid-19 di sebuah klinik. Gambar: Bernama

Kes jangkitan sporadik Covid-19 di Sabah terus meningkat kepada 71.18% daripada keseluruhan 2,717 kes positif baru yang dicatatkan semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata peratusan kes bergejala melalui jangkitan sporadik adalah yang tertinggi pernah direkodkan di negeri tersebut setakat ini.

“Sebanyak 23 daripada 27 daerah di Sabah turut memperlihat trend sama dengan kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah-daerah berkenaan.

“Atas sebab itulah kita selalu menggesa rakyat Sabah agar mematuhi semua prosedur operasi standard sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Masidi berkata jumlah kumulatif kes positif baru Covid-19 di Sabah meningkat kepada 346,665 semalam dengan tujuh kematian dilaporkan masing-masing dua kes di Kota Belud dan Tenom manakala satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan serta Sipitang.

Beliau berkata seramai 3,985 pesakit Covid-19 di Sabah dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih ialah 301,911 orang manakala 1,543 pesakit sedang menerima rawatan.