- Iklan -
Berita

Keluarga mohon peluang kedua bagi Nagaenthran menjelang rayuan akhir di mahkamah Singapura

Aktivis percaya pihak berkuasa sedang bersiap untuk melaksanakan hukuman mati terhadap beberapa lagi banduan bilik akhir selepas kes Nagaenthran.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.

Mahkamah Singapura hari ini akan mendengar rayuan terakhir seorang banduan kurang upaya (OKU) mental warga Malaysia yang berdepan hukuman mati, di mana ia telah mencetuskan bantahan antarabangsa.

Nagaenthran K Dharmalingam ditahan pada 2009 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke republik yang terkenal mempunyai undang-undang kesalahan dadah paling keras di dunia.

Dia dijatuhi hukuman mati setahun selepas penahanannya.

Selepas beberapa kali gagal dalam rayuan di mahkamah sejak sedekad lalu, lelaki berusia 34 tahun akhirnya dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ke atas Nagaenthran telah mencetuskan kritikan ramai disebabkan ketidak upayaan intelek Nagaenthran yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi membolehkannya diisytihar sebagai OKU mental.

Selain Kesatuan Eropah, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, taikun syarikat penerbangan Britiain Richard Branson juga turut mengecam hukuman terhadap Nagaenthran.

Dalam pada itu, peguam Nagaenthran telah mengemukakan cabaran undang-undang terakhir, namun ditangguhkan selepas dia disahkan positif Covid-19, namun pendengaran rayuannya akan diteruskan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Ramai aktivis bimbang peluangnya untuk berjaya dalam rayuan akhir hari ini tipis dan Nagaentran mungkin dihukum gantung sejurus selepas pendengaran di mahkamah hari ini.

Pelaksanaan hukuman ke atas Nagaenthran akan menjadi hukuman mati pertama dilaksanakan di Singapura sejak kali terakhir pada 2019.

Kebimbangan juga semakin meningkat hukuman gantung itu akan menjadi pelaksanaan pertama bagi beberapa lagi hukuman gantung yang dijadualkan dalam masa terdekat.

Aktivis anti hukuman mati percaya pihak berkuasa Singapura sedang bersiap sedia untuk melaksanakan hukuman mati kepada tiga pesalah dadah yang lain.

Keluarga Nagaenthran juga turut menantikan keputusan perbicaraan hari ini.

“Kami bimbang tentang apa yang akan berlaku,” kata adik perempuannya Sarmila Dharmalingam kepada AFP dari rumah keluarganya di Tanjung Rambutan, Perak.

“Kami tertekan dan takut memikirkan keadaan abang saya ketika ini”.

Sarmila turut menggesa kerajaan Singapura untuk “melepaskan Nagaenthran daripada hukuman gantung, dan memberinya peluang kedua”.

Kumpulan hak asasi manusia juga turut meningkatkan tekanan ke atas Singapura, di mana penyelidik Amnesty International Rachel Chhoa-Howard bulan ini mengkritik kerajaan kerana merancang untuk menyambung semula hukuman mati yang “kejam”.

“Sudah tiba masanya bagi Singapura untuk mewujudkan semula moratorium terhadap hukuman mati sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan hukuman itu sepenuhnya,” katanya.