- Iklan -
Berita

Abang Johari bakal jadi ‘menteri perdana’ di bawah cadangan pindaan Perlembagaan Sarawak

Rang undang-undang yang akan dibentangkan minggu depan di DUN Sarawak turut mencadangkan 'menteri muda' ditukar kepada 'timbalan menteri'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mungkin akan menjadi “menteri perdana” pertama Sarawak jika cadangan pindaan kepada perlembagaan negeri itu diluluskan, sebagai langkah simbolik bagi menunjukkan pengaruh lebih besar negeri Borneo itu di bawah persekutuan Malaysia.

Memetik rang undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan, The Borneo Post melaporkan pindaan itu bakal menyaksikan gelaran “ketua menteri” dalam Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak akan digantikan dengan gelaran “menteri perdana”.

Satu lagi cadangan yang dimasukkan dalam RUU yang akan dibentangkan Menteri Pelancongan Abdul Karim Rahman Hamzah adalah untuk menamakan semula jawatan “menteri muda” kepada “timbalan menteri”.

Menurut Borneo Post, RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 adalah salah satu dari lima RUU yang akan dibentangkan pada sidang khas DUN yang akan bermula esok.

Langkah itu dimulakan selepas dua bulan pindaan Perlembagaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember, bagi mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan Perlembagaan tersebut diluluskan secara sebulat suara oleh semua ahli Parlimen yang hadir di mana ia merupakan peristiwa kedua ahli Parlimen mengenepikan kecenderungan parti politik bagi menyokong RUU itu selepas mereka bersatu dalam menyokong RUU menurunkan had umur mengundi pada 2019.

Malahan, pada 2019 juga, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan arahan untuk menggantikan panggilan “negeri” bagi Sabah dan Sarawak kepada “wilayah”.

Semasa lawatannya ke Sarawak, perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin turut berkata Sarawak adalah “wilayah”.

Muhyiddin memaklumkan pertukaran terbabit adalah bagi memisahkan Sabah dan Sarawak daripada panggilan “negeri” yang digunakan kepada negeri lain di Malaysia.

Karim juga turut mengalu-alukan kenyataan itu, mengatakan Sabah dan Sarawak tidak boleh dikategorikan sebagai negeri seperti negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Menurut Karim, pembentukan kedua-dua negeri itu berbeza di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri yang lebih kecil seperti Perlis.