- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Kuala Nerus dipecat sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pembatalan lantikan Khairuddin itu berpunca daripada masalah disiplin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali sekali lagi kehilangan kedudukan penting dalam parti apabila beliau digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita mengesahkan perkara itu selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila hari ini.

“Oleh kerana pelantikan beliau (sebagai Setiausaha) Majlis Syura dibuat Jawatankuasa PAS Pusat, maka Jawatankuasa PAS Pusat telah membatalkan pelantikan itu.

“Ia berkuat kuasa semalam. Pembatalan lantikan itu kerana masalah disiplin… (oleh itu), dia tak jadi ahli Majlis Syura lagi kerana untuk menjadi setiausaha Majlis Syura, dia perlu jadi ahli dahulu,” katanya.

Pengguguran Khairuddin itu berlaku tidak sampai sebulan selepas digugurkan daripada menganggotai ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 12 Januari lepas.

Ketika ini, Khairuddin hanyalah ahli biasa dalam PAS setelah kehilangan dua jawatan dalam dua entiti tertinggi parti itu.

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu gagal mempertahankan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat semasa pemilihan bagi sesi 2021-2023 yang berlangsung pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 pada November lepas namun dilantik semula ke jawatan itu bersama Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

- Iklan -

Paling Popular