- Iklan -
Berita

Tiada DNAA dalam Islam, hak pengampunan diberi kepada mangsa, kata Hadi di Dewan Rakyat

Presiden PAS mempertahankan komennya mengenai pengampunan kepada penjenayah, mengatakan beliau bersedia untuk masuk penjara kerana berkata demikian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Facebook

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mempertahankan pandangannya tentang pengampunan kepada penjenayah yang disabitkan bersalah baru-baru ini yang membawa kepada siasatan terbaru polis, bertentangan keadilan Islam yang katanya memberikan hak pengampunan hanya kepada mangsa jenayah itu.

"Hak pengampunan diberikan kepada mangsa, bukan kepada raja atau lembaga pengampunan. Hak pengampunan kepada yang dizalimi, sama ada diampun atau dibayar diya, pampasan, di mana dia kena bayar sara hidup sehingga meninggal dunia.

"Ini menunjukkan tidak ada DNAA dalam kehakiman Islam," kata ahli Parlimen Marang itu dalam ucapannya di Dewan Rakyat hari ini, merujuk kepada permohonan melepas tanpa membebaskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan perbicaraan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Hadi berkata demikian merujuk kepada penjelasan beliau tentang cara Islam dalam memberikan pengampunan kepada banduan.

Bagaimanapun, penjelasan itu mengakibatkan laporan polis dibuat terhadapnya.

Memuji pegawai polis kerana melayannya dengan baik semasa sesi soal siasat, Hadi berkata beliau bersedia untuk dipenjarakan jika mahkamah mendapati beliau bersalah atas komennya.

"Saya sedia dihukum. Tak tahulah hukuman itu sama ada penjara atau denda. Saya pilih penjara," katanya sambil menambah beliau lebih cenderung menyumbang wang kepada Pasti, rangkaian tadika Islam yang dikendalikan oleh PAS.

Contohi India

Hadi dalam pada itu mempersoalkan kerajaan, mengatakan mereka menyalahgunakan jentera kerajaan dalam pilihan raya. 

Beliau berkata ini berbeza dengan India, memberi contoh bagaimana mahkamah India mendapati mendiang perdana menteri Indira Gandhi bersalah kerana menyalahgunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya, dan mengisytiharkan kerusinya kosong untuk memberi laluan kepada pilihan raya semula.

"Dia bertanding dan menang di dua kawasan. Salah satu kawasan ada petisyen kerana dia menyalahgunakan jentera kerajaan. Guna kereta bukan helikopter.

"Ini berlaku di India. Kat sini, tak tahulah, boleh buat apa sahaja," katanya.

Semasa kempen pilihan raya di enam negeri baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan menggunakan helikopter kerajaan untuk tujuan berkempen.