- Iklan -
Berita

Polis rakam keterangan presiden PAS

Presiden PAS itu didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan semasa ceramah pada 26 Ogos.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama

Polis hari ini mengambil keterangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, bulan lepas.

Keterangan Hadi dirakam oleh seorang pegawai penyiasat daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur.

Terdahulu pegawai penyiasat berkenaan tiba pada 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan bangunan berkenaan pada 12.50 tengah hari.

Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata proses rakaman keterangan itu mengambil masa selama sejam dan berjalan lancar.

"Tok guru (Abdul Hadi) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat dan menjawab semua soalan yang diajukan," katanya kepada pemberita yang berkumpul di kawasan ibu pejabat parti itu sejak 9 pagi ini.

Beliau berkata Hadi ditemani seorang peguam semasa proses rakaman keterangan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika perlu dirakam keterangan susulan.

Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan dibuka terhadap Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.