- Iklan -
Berita

100 penyokong PH berhimpun di Bangsar tunjuk perasaan anti-Azam

Penganjur sebelum ini menjangkakan ramai yang turut serta dalam himpunan bagi mendesak ketua pesuruhjaya SPRM itu disingkir.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Saksi himpunan berkata petugas media dan pegawai keselamatan lebih ramai daripada peserta himpunan 'Tangkap Azam Baki' di Bangsar.
Saksi himpunan berkata petugas media dan pegawai keselamatan lebih ramai daripada peserta himpunan 'Tangkap Azam Baki' di Bangsar.

Kira-kira 100 penyokong Pakatan Harapan (PH) berhimpun berhampiran Stesen LRT Bangsar hari ini bagi mendesak tindakan diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki di atas tuduhan artikel dalam talian berkait pemilikan sahamnya.

Himpunan tunjuk perasaan itu dipindahkan ke Bangsar selepas polis menghalang penganjur berhimpun di pusat bandar.

Sebelum ini, penganjur menjangkakan ribuan peserta akan menyertai perhimpunan “Tangkap Azam Baki”.

Saksi berkata bilangan anggota polis dan media lebih ramai berbanding penunjuk perasaan, di mana kebanyakannya membawa karikatur Azam dan memutuskan untuk duduk di jalan raya.

Bagaimanapun, menurut laporan langsung Malaysiakini, menjelang tengah hari, kira-kira 200 penunjuk perasaan dianggarkan berada dalam himpunan tersebut, selepas sekumpulan peserta hadir di Jalan Bangsar selepas perarakan yang dirancang ke pusat Bandar itu dibatalkan.

Perhimpunan hari ini dianjurkan oleh DAP, PKR dan Amanah sebagai sebahagian daripada kempennya menuntut Azam disingkirkan daripada SPRM walaupun nama beliau dibersihkan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), di mana kedua-dua badan itu menyatakan beliau tidak melanggar sebarang kesalahan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) (Sicda).

Terdahulu, SC melaksanakan siasatan ke atas Azam berhubung dakwaan wujud konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat susulan penerbitan siri artikel blog oleh Lalitha Kunaratnam, seorang aktivis yang mempunyai kaitan NGO tempatan C4 Center.

Azam memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha yang kini telah menutup akaun media sosialnya.