- Iklan -
Berita

Kos dan faedah skim beli sekarang, bayar kemudian

Pakar memberi amaran jika tidak digunakan dengan bijak, skim tersebut boleh jadi punca pengumpulan hutang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penggunaan skim beli dulu, bayar kemudian mungkin boleh menyebakan pengumpulan hutang.
Penggunaan skim beli dulu, bayar kemudian mungkin boleh menyebakan pengumpulan hutang.

Pakar kewangan mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan kaedah pembayaran seperti skim beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) secara melulu tanpa berfikir panjang, mengatakan ia boleh menyebabkan pengumpulan hutang sewaktu negara menyambut musim perayaan dan platform beli-belah dalam talian mula menawarkan diskaun besar-besaran.

Beli-belah dalam talian menjadi aktif ketika pandemik susulan premis fizikal pusat beli-belah dan kedai-kedai terpaksa ditutup akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Bahkan, jualan dalam talian menarik orang ramai dengan tawaran rebat dan baucar sebelum pandemik.

Kini, dengan skim BNPL diperkenal dan digunakan secara meluas, pakar kewangan berkata ia akan memudahkan pembeli untuk mendapatkan apa yang mereka mahu dengan hanya satu klik.

Seperti namanya, kaedah BNPL membolehkan pelanggan mendapatkan barang tanpa membuat pembayaran penuh terlebih dahulu.

Sama seperti skim ansuran biasa, bayaran BNPL dipecahkan kepada jumlah yang lebih kecil untuk dibayar dalam tempoh masa tertentu.

Biasanya, BNPL ditawarkan tanpa faedah namun fi atau caj dikenakan ke atas pembayaran lewat jika pelanggan gagal membuat pembayaran mengikut jadual.

Di Malaysia, skim ini ditawarkan oleh platform seperti Grab melalui pilihan kaedah pembayaran PayLater, Shopee melalui SPay Later, Atome dan Hoolah.

Ketika ini, skim pembayaran tersebut tidak dikawal selia walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bulan lepas bahawa kerjasama antara agensi akan dilaksanakan bagi menggubal Akta Kredit Pengguna tahun depan, sekali gus mengukuhkan pengaturan kawal selia untuk aktiviti kredit pengguna termasuk skim BNPL.

Bagaimanapun, buat masa ini, BNPL semakin mendapat tempat sebagai salah satu kaedah pembayaran yang paling pesat berkembang bagi transaksi tanpa tunai.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif iMoney See Wai Hun memberitahu MalaysiaNow beberapa isu perlu sentiasa diingati pelanggan, termasuk soal fi atau caj pembayaran lewat.

“Caj pembayaran lewat boleh dikenakan daripada jumlah tetap seperti RM60 hingga peratusan harga barang itu setiap bulan,” katanya.

Memandangkan BNPL membahagikan jumlah pembayaran belian kepada jumlah ansuran yang lebih kecil, See berkata ia juga boleh mewujudkan ilusi sesuatu barangan itu “lebih mampu milik”.

“Persepsi salah inilah yang mungkin menyebabkan sesetengah orang membuat pembelian yang sebenarnya di luar kemampuan mereka,” katanya.

BNPL juga lebih mudah diakses kerana halangannya lebih rendah berbanding pinjaman kad kredit dan pinjaman bank.

Di Malaysia, syarat asas pembelian kredit termasuk perlu memberikan bukti pelanggan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, mempunyai bukti kewarganegaraan, kad debit, nombor telefon dan alamat e-mel.

See berkata kemudahan akses demikian juga boleh menyebabkan keputusan segera dilakukan berbanding berfikir dahulu dan membeli sesuatu barangan, menyebabkan kemungkinan orang ramai melakukan pembelian impulsif lebih tinggi.

Amanda Yeo, seorang penyelidik badan pemikir Emir Research, berkata BNPL menarik golongan milenium dan Gen Z kerana ia membolehkan mereka membeli semua jenis barangan baik dari kosmetik, pakaian, elektronik dan juga perabot dengan belanjawan bulanan mereka.

“Memandangkan pembayaran boleh dibahagikan dalam beberapa bulan, mereka rasa kurang beban kewangan semasa tempoh pandemik,” tambahnya.

Kesan “feel good” daripada BNPL juga turut ditambah dengan ketiadaan resit dan urus niaga fizikal berbeza dengan pembelian konvensional yang mengingatkan pembeli mengenai wang yang dibelanjakan mereka.

Inilah sebabnya mengapa sesetengah penasihat kewangan menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dengan wang tunai dan bukannya kad kredit, supaya mereka akan lebih sedar tentang jumlah yang dikeluarkan, kata Yeo.

Jika pelanggan gagal membayar, katanya, syarikat BNPL mungkin akan memberitahu pemungut hutang.

Tambahnya, inilah yang menjadi kebimbangan.

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, kad kredit dan pinjaman peribadi adalah punca utama ramai rakyat Malaysia terjebak dalam hutang.

Di Malaysia, hutang isi rumah meningkat dari RM1.27 trilion pada 2020 kepada RM1.34 trilion pada Jun.

“Isi rumah perlu mengutamakan apa yang perlu dibelanjakan dahulu dan perkara yang paling mereka perlukan,” kata Yeo.

Bagaimanapun, kata See, ia bukan untuk memburuk-burukkan skim tersebut.

Pembelian yang dibuat melalui BNPL boleh membantu membaiki beberapa kerosakan ekonomi akibat wabak Covid-19 yang menjejaskan seluruh dunia.

Dan jika digunakan dengan bijak, kaedah itu membolehkan pelanggan mendapatkan barangan yang memang diperlukan tanpa menjejaskan aliran tunai peribadi, kata See.

Pelanggan juga mungkin boleh berjimat melalui pelbagai ganjaran, promosi dan mata yang ditawarkan platform e-dagang.

Namun, penggunaan skim itu mesti dilakukan dengan penuh disiplin dan sedar tentang kedudukan kewangan sendiri.

Sementara itu, Yeo pula menasihatkan pembeli muda untuk menyesuaikan gaya hidup mereka dan memilih produk yang lebih mampu milik berdasarkan belanjawan sendiri.

“Pada akhirnya, bila keperluan jadi lebih sederhana, kehidupan anda tidak akan menyesakkan,” katanya.