- Iklan -
Berita

Mansuhkan Hari Merdeka, cukup dengan Hari Malaysia, kata Nazri Aziz

Hari Malaysia menggantikan Hari Merdeka supaya sentimen Semenanjung dan Borneo tidak lagi wujud.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz. Gambar: Bernama

Kerajaan perlu memansuhkan Hari Merdeka dan digantikan dengan Hari Malaysia selepas pindaan Perlembagaan diluluskan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz.

Katanya, pengekalan takrif Hari Merdeka tidak mempunyai makna kepada Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963.

“31 Ogos Hari Merdeka mesti digugurkan kerana dia menyebabkan ada dua pemikiran, iaitu kita Merdeka dan kita juga ada Hari Malaysia.

“Kalau betul hendak maksudkan kita sebagai sebuah negara, gugurkanlah Hari Merdeka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, sentimen yang membezakan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak harus dihentikan.

Ini kerana Perlembagaan sedia ada merupakan Perlembagaan Malaysia dan bukannya Perlembagaan Malaya.

“Tidak mengapa untuk baca dalam buku sejarah bahawa Semenanjung merdeka pada 31 Ogos 1957, tapi yang kita hendak raikan pada masa depan ialah Hari Malaysia supaya tidak lagi berbangkit hanya Sabah Sarawak meraikan Hari Malaysia,” katanya.

Pindaan Perlembagaan yang dibacakan kali kedua hari ini antaranya memberikan tafsiran baru kepada Hari Malaysia dengan menjelaskan penggunaannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, bekas menteri undang-undang itu berkata isu-isu berbangkit antara kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak tidak perlu dibawa kepada mahkamah.

“Kita perlu orang luar (mahkamah) untuk buat keputusan. Mahkamah ini tahap orang hendak bercerai. Lain kali kalau ada masalah berbangkit antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak, tidak perlu bawa ke mahkamah.

“Masing-masing ada kementerian, apa perlu sampai pergi ke mahkamah?” soalnya.

Dalam ucapannya, beliau menyokong penuh pindaan tersebut.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.