- Iklan -
Berita

Sistem pengundian sedia ada masih jadi pilihan pengundi, kata kajian

Majoriti responden berpendapat sistem pengundian hanya perlu ditambah baik, bukan diubah sepenuhnya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut kajian Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) 28.1% responden bersetuju supaya kekalkan sistem pengundian sedia ada tanpa sebarang perubahan manakala 6.6% responden berpandangan bahawa Malaysia memerlukan sistem pengundian baru.
Menurut kajian Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) 28.1% responden bersetuju supaya kekalkan sistem pengundian sedia ada tanpa sebarang perubahan manakala 6.6% responden berpandangan bahawa Malaysia memerlukan sistem pengundian baru.

Sistem pengundian di Malaysia yang berpandukan sistem First Past The Post (FPTP) atau majoriti mudah disifatkan sebagai “memuaskan” dalam kalangan pengundi, demikian menurut kajian.

Kajian yang dilakukan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mendapati majoriti responden bersetuju untuk mengekalkan sistem pengundian sedia ada berbanding mengubah kepada sistem baru.

Felo Penyelidik Kanan Helen Ting berkata berdasarkan hasil survei yang dilakukan, 55.5% responden merasakan sistem pengundian negara wajar dikekalkan, namun sistem pelaksanaannya perlu ditambah baik.

“28.1% responden bersetuju supaya kekalkan sistem pengundian sedia ada tanpa sebarang perubahan manakala 6.6% responden berpandangan bahawa Malaysia memerlukan sistem pengundian baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian yang dilakukannya menerusi sesi webinar Ikmas bertajuk “Mengubah Sistem Pengundian Untuk Malaysia yang Lebih Demokrasi? Cabaran & Pilihan.”

Sistem pengundian FPTP bermakna, calon yang bakal dilantik menjadi ahli Parlimen akan ditentukan oleh pengundi manakala sistem pengundian Perwakilan Saksama membolehkan pengundi memilih parti, bukan calon yang disukai.

Kajian itu adalah berdasarkan maklum balas survei terhadap 2,627 responden yang dipilih secara persampelan rawak berstrata dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Menyentuh mengenai topik “lompat parti” dalam kalangan wakil rakyat, Ting berkata, majoriti responden dengan 39% setuju dan 19.4% sangat bersetuju supaya Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti diluluskan.

“Sementara itu, 40.7% responden berpandangan wakil rakyat yang lompat parti wajar meletakkan jawatan dan perlu bertanding semula manakala 34.5% responden berpendapat wakil rakyat tidak dibenarkan tukar parti,” katanya.

Ditanya cara untuk meningkatkan penglibatan golongan wanita menjadi ahli Parlimen, Ting berkata, 55.8% responden merasakan tiada halangan untuk golongan wanita bertanding sebagai wakil rakyat dan mereka hanya perlu tampil dan bersaing secara sama rata dengan golongan lelaki.

“41.2% lagi berpendapat bahawa pemimpin parti seharusnya memilih calon wanita yang sesuai untuk bertanding di pilihan raya,” katanya sambil menambah golongan wanita hanya merangkumi 15% daripada kerusi di Parlimen.

Menurut Ting, walaupun ramai yang bersetuju supaya perlu ada kuota 30% untuk golongan wanita di Parlimen, ia tidak dilihat sebagai satu keutamaan.

Beliau berkata, tiga keutamaan bagi responden dalam ciri-ciri pengundian ialah mempunyai calon spesifik untuk mewakili kawasan, responden mengundi calon secara langsung dan kestabilan politik.