- Iklan -
Berita

Peguam negara Singapura ancam tindakan terhadap MalaysiaNow, dua entiti lain berhubung laporan banduan Melayu

Peguam negara Singapura menamakan peguam hak asasi terkemuka negara itu, M Ravi, portal berita dan kumpulan peguam hak asasi Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam negara Singapura mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang menghina mahkamah  berhubung laporan mengenai saman sekumpulan banduan Melayu di negara itu yang mendakwa wujud diskriminasi kaum. Gambar: Pejabat peguam negara Singapura
Peguam negara Singapura mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang menghina mahkamah berhubung laporan mengenai saman sekumpulan banduan Melayu di negara itu yang mendakwa wujud diskriminasi kaum. Gambar: Pejabat peguam negara Singapura

Peguam negara Singapura mengancam tindakan undang-undang menghina mahkamah terhadap MalaysiaNow dan dua lagi penama berhubung laporan saman sekumpulan banduan Melayu yang mendakwa wujud diskriminasi kaum, menyebabkan respons tegas dari kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL).

LFL dan peguam M Ravi turut dinamakan peguam negara itu dalam sebuah surat kepada peguam hak asasi tersebut.

“Sukar untuk difahami respons balas keterlaluan daripada kerajaan Singapura berhubung satu laporan berita mengenai pemfailan sebuah saman,”kata penasihat LFL N Surendran dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Jelas sekali kerajaan Singapura terlalu takut dengan sebarang perbincangan awam mengenai amalan diskriminasi perkauman di negara itu,” kata Surendran.

Pada 31 Ogos, MalaysiaNow melaporkan 17 banduan menunggu hukuman mati di atas kesalahan berkaitan dadah yang menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa kerajaan Singapura melakukan diskriminasi dan pendakwaan terplih berdasarkan etnik Melayu mereka.

Kesemua banduan tersebut menamakan peguam negara Singapura sebagai defendan, mendakwa beliau melanggar jaminan Perlembagaan berhubung layanan yang adil di bawah undang-undang.

Salah seorang banduan, Rahmat Karimon merupakan warganegara Malaysia yang diwakili LFL.

Dalam afidavit bersama melebihi 100 muka surat, mereka berkata soal siasat, perbicaraan dan sabitan kesalahan ke atas mereka di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dibuat secara melulu dan berdasarkan faktor tidak relevan berhubung etnik mereka.

Surendran berkata ia bukan kali pertama Singapura mengancam tindakan undang-undang terhadap aktivis atau entiti di Malaysia yang mengamalkan kebebasan bersuara dalam negara.

Katanya, LFL pernah diancam dengan tindakan undang-undang kerana menerbitkan butiran keganasan hukuman gantung di Penjara Changi.

“Percubaan berulang-kali Singapura untuk melangkaui tambak dan menutup mulut pengkritik di sini, menunjukkan mereka tidak menghiraukan kedaulatan Malaysia dan tidak menghormati kebebasan bersuara, perbincangan awam dan norma-norma antarabangsa hak asasi manusia,” katanya.

Surendran menambah Ravi yang dikenali dengan amalan pro bono dalam kes-kes hukuman mati, beberapa kali disasarkan di Singapura dengan “beberapa rungutan berhubung hujah-hujah yang beliau kemukakan di mahkamah mewakili banduan menunggu hukuman mati”.

Beliau turut menggesa Putrajaya untuk menghantar beberapa wakil ke Singapura untuk memulakan usaha bagi melindungi rakyatnya yang mengamalkan aktiviti dibenarkan undang-undang Malaysia.

“Sikap membuli terhadap rakyat Malaysia yang melakukan aktiviti secara aman dalam negara tidak lagi boleh ditoleransi.

“Kami juga menggesa kerajaan Singapura untuk henti ancaman tindakan undang-undang menghina mahkamah terhadap Ravi, MalaysiaNow dan LFL.

“Singapura seharusnya berdepan dengan saman 17 orang banduan tersebut dalam mahkamah seperti biasa, bukan menggunakan kuasa untuk melakukan intimidasi terhadap pengadu, peguam, aktivis dan media,” katanya.

Awal tahun lalu, menteri dalam negeri Singapura K Shanmugam mengarahkan agensi anti-berita palsu negara itu untuk mengeluarkan surat kepada LFL supaya meminda kenyataan dalam laman sesawangnya, mendakwa kumpulan itu menyebarkan berita palsu berhubung pendedahan amalan ganas sepanjang pelaksanaan hukuman terhadap banduan di Penjara Changi.

LFL bagaimanapun mengenepikan arahan tersebut, mengatakan Singapura tidak perlu campur tangan dengan kebebasan warga Malaysia.