- Iklan -
Berita

Malaysia sambut baik sokongan terhadap konsensus Asean berhubung Myanmar

Hishammuddin menegaskan konsensus yang dicapai di Jakarta itu dapat merintis jalan untuk Asean terbabit dalam memulihkan politik Myanmar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama
Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama

Sokongan rakan Asean termasuk Amerika Syarikat (AS) amat dialu-alukan dalam melaksanakan ‘Konsensus Lima Perkara’ yang dicapai pemimpin blok serantau itu dalam menangani krisis di Myanmar, kata Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein.

Dalam kenyataan Mesyuarat Peringkat Menteri Asean-AS yang diadakan secara maya pada Rabu, Hishammuddin menegaskan konsensus yang dicapai di Jakarta itu penyelesaian penting dan merintis jalan untuk Asean terbabit dan membantu Myanmar kembali kepada keadaan normal.

Beliau berkata, konsensus itu turut mengukuhkan sokongan blok ini terhadap transisi demokratik, proses keamanan dan turut merangkumi pembangunan ekonomi di negara itu.

“Malaysia mengulangi gesaan supaya ketegangan di Myanmar diredakan kerana ia adalah perkara yang mesti diutamakan. Kami menggesa semua pihak supaya membantu mewujudkan persekitaran kondusif bagi mengembalikan dialog kebangsaan dan melaksanakan proses rundingan,” katanya.

Lima perkara itu adalah: menamatkan keganasan, mengadakan rundingan konstruktif membabitkan semua pihak, Asean menghulurkan bantuan kepada Myanmar, wakil khas Asean dilantik untuk memimpin rundingan dan membenarkan wakil Asean melawat negara itu.

Mengenai isu Rohingya, Hishammuddin memuji peranan AS menangani keadaan di negeri Rakhine serta mengalu-alukan ikrar terbaru negara itu menyumbang AS$155 juta untuk pelarian Rohingya, mendirikan kem di Bangladesh dan membantu etnik Rohingya dan penduduk lain yang terjejas di Myanmar.

Pada masa sama, beliau turut berusaha mendapatkan bantuan daripada rakan Asean seperti AS dalam menimbang menerima lebih banyak pelarian Rohingya di Malaysia untuk ditempatkan di negara ketiga.

Hishammuddin turut menyentuh isu Laut China Selatan dengan menyatakan Malaysia teguh dengan pendiriannya bahawa perkara itu mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif menerusi dialog dan rundingan, menggunakan saluran diplomatik sejajar dengan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.

Beliau menegaskan, hubungan berterusan serta perkongsian maklumat amat penting bagi mengelak sebarang kejadian luar jangka atau insiden di perairan itu, merujuk kepada keadaan sensitif sejak sekian lama.

“Saluran komunikasi kami sentiasa terbuka untuk AS. Perlu ditegaskan, sebagai negara yang turut menuntut hak, Laut China Selatan kekal menjadi isu penting buat kami dan melindungi kestabilan serantau akan sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Kami akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan perairan ini kekal bebas dan terbuka, selamat dan menguntungkan untuk laluan dagang, tanpa sebarang kerisauan berlakunya keganasan,” katanya.

Hishammuddin turut menyentuh isu Semenanjung Korea dengan menyatakan bahawa AS mempunyai peranan penting bersama pihak yang terbabit bagi menghalang Korea Utara meneruskan pembinaan senjata nuklear, sejajar dengan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Penerusan dialog AS dan Korea Utara serta antara Seoul dengan Pyongyang amat penting bagi membina persekitaran kondusif bagi membolehkan rundingan diteruskan,” katanya.

Usaha membina keyakinan turut mesti diteruskan kerana ia mampu meraih kepercayaan serta menggalakkan Pyonyang terus kekal di meja rundingan, kata Hishammuddin.