- Iklan -
Berita

Anwar suka cakap besar, kata diplomat terkemuka Singapura sindir cadangan Asean runding tarif dengan AS

Bilahari Kausikan berkata perdana menteri tidak tahan godaan untuk mendabik dada.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Diplomat veteran Singapura, Bilahari Kausikan, berkata Anwar Ibrahim tidak tahan godaan untuk mendabik dada.
Diplomat veteran Singapura, Bilahari Kausikan, berkata Anwar Ibrahim tidak tahan godaan untuk mendabik dada.

Kemampuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencari penyelesaian selari dengan jawatannya sebagai pengerusi Asean kini dipersoalkan selepas seorang diplomat veteran menyelar cadangannya supaya rundingan tarif dengan Washington dilakukan blok serantau itu secara bersama.

Bilahari Kausikan, bekas wakil tetap Singapura ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata cadangan Anwar supaya blok Asean secara kolektif berunding dengan Amerika Syarikah adalah mustahil kerana negara anggota lebih suka melakukannya secara sendirian.

"Adalah mustahil bagi Asean melakukannya secara kolektif memandangkan julat tarif dan perbezaan ekonomi setiap negara anggota," kata Kausikan, yang pernah menjadi duta Singapura ke beberapa negara dan di mana pendapatnya mengenai hubungan antarabangsa mempunyai pengaruh dalam kalangan diplomatik.

"Hanya PM Malaysia yang berpendapat sebaliknya atau berpura-pura kerana dia tidak pernah dapat menahan daripada mendabik dada," tambahnya dalam satu hantaran Facebook yang turut dikongsi oleh Ho Ching, isteri kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Ia susulan pentadbiran Donald Trump memaklumkan rombongan Malaysia baru-baru ini yang diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz baru bahawa AS tidak berminat mengadakan rundingan tarif dengan Asean sebagai blok bersatu, sebaliknya mahu rundingan dua hala dengan setiap negara anggota secara berasingan.

Malaysia merupakan antara negara yang dikenakan tarif tambahan - 24% - di samping kadar 10% terhadap semua negara seperti mana diumumkan Trump ke atas semua barangan yang dieksport ke AS.

Beberapa hari selepas pengumuman itu, Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata negara Asean harus bertindak sebagai blok kolektif untuk menyelesaikan isu tarif perdagangan dengan Washington.

Awal bulan ini, sebuah artikel Bernama memuji cadangan Anwar itu, sambil menyifatkan sebagai "mempamerkan kepintaran politik yang luar biasa sebagai pengerusi Aseam dalam mendepani cabaran yang dihadapi rantau ini".

"Ciri-ciri ini, dengan personaliti Anwar yang mengekalkan hubungan mesra dengan rakan dan lawan, telah memberi kelebihan kepada Malaysia dalam rundingan tarif dan memperjuang kepentingan ekonomi Asia Tenggara sebagai pengerusi kumpulan serantau itu," menurut rencana Bernama pada 1 Mei.

Bagaimanapun, pandangan sedemikian jauh berlawanan dengan pendapat orang ramai di media sosial.

Kritikan oleh Kausikan disusuli dengan pelbagai komen yang rata-rata mengatakan Anwar tidak tahu menguruskan isu ekonomi.

"Sekurang-kurangnya kamu semua dapat lihat kebodohan perdana menteri kita dari Malaysia," tulis Brader Bob di Facebook.

"Anwar gemar dengan MOU. Tetapi tiada apa pun yang dilakukan," kata Jansen Ong, merujuk kepada kritikan terhadap siri lawatan luar negara Anwar yang selalunya berakhir dengan pengumuman oleh beliau mengenai kemasukan pelaburan berbilion ringgit.

Sylvester Zhuo pula menulis: "Sebenarnya sebilangan besar anggota jemaah menteri juga suka mendabik dada untuk dapat perhatian."

Sementara itu, Abu Affan berkata, tidak banyak yang dapat diharapkan daripada Anwar "yang tidak melakukan apa-apa selain daripada bercakap berulang kali macam burung nuri — kuat, berulang-ulang, tetapi hasilnya kosong".

"Katanya dia tidak ambil gaji untuk jawatannya, seolah-olah itu cukup mewajarkan kurangnya tindakan dan keputusan," tambahnya.

Sementara itu, Kausikan sekali lagi menyifatkan Anwar "mendabik dada".

Dalam responsnya kepada komen yang mengatakan cadangan Anwar Asean secara kolektif adalah dipengaruhi China, Kausikan menjawab: "Bukan pengaruh Cina tetapi Anwar yang mendabik dada!"

Ia diikuti komen oleh Jason CJ, yang berkata Anwar kerap cuba membawa idea yang "sesetengahnya mungkin bercanggah dengan kebijaksanaan bersama sama ada dari rakyat negaranya mahupun penjawat awam".

"Saya rasa begitu," jawab Kausikan.