- Iklan -
Berita

Perbadanan Biodiversiti Tasik Chini perlu libatkan kami, kata Orang Asli

Usaha pemulihan tidak akan lengkap tanpa suara Orang Asli yang sudah turun-temurun mendiami kawasan Tasik Chini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli suku Jakun, Rodi Jamai, 46, berjalan kaki dengan berlatar belakangkan lombong Mangan. Dahulunya adalah hutan,  yang merupakan pasaraya bagi mereka, namun telah musnah akibat perlombongan berlesen sejak sekian lama, namun siapa mereka untuk menghalang aktiviti tersebut di Kampung Melai, Tasik Chini.
Orang Asli suku Jakun, Rodi Jamai, 46, berjalan kaki dengan berlatar belakangkan lombong Mangan. Dahulunya adalah hutan, yang merupakan pasaraya bagi mereka, namun telah musnah akibat perlombongan berlesen sejak sekian lama, namun siapa mereka untuk menghalang aktiviti tersebut di Kampung Melai, Tasik Chini.

Usaha kerajaan Pahang untuk memulihkan Tasik Chini menerusi cadangan menubuhkan Perbadanan Biodiversiti Tasik Chini wajar dipuji, namun ia tidak akan lengkap tanpa penglibatan komuniti Orang Asli yang mendiami kawasan sekitar itu.

Penubuhan perbadanan itu dicadangkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail sebagai memperkasakan usaha pemulihan ekosistem Tasik Chini yang semakin teruk akibat aktiviti perlombongan bijih dan pembalakan.

Sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan Pahang untuk usaha pemulihan Tasik Chini yang terjejas akibat aktiviti perlombongan dan pembalakan.

Selain penubuhan perbadanan, penanaman semula pokok antara usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

Namun di sebalik semua usaha itu, aktivis Orang Asli Tasik Chini Hasam Ismail berkata, suara Orang Asli sebagai penduduk asal turun-temurun di tasik itu perlu didengari oleh kerajaan negeri.

“Ramai pihak di luar sana tidak tahu, bahawa hutan ini merupakan ‘supermarket’ kami, Tasik Chini ini ialah ‘ice box’ kami.

“Tambah-tambah dalam keadaan pandemik ini, yang mana kami rasa amat tertekan dengan kualiti hidup kami… Nak bergantung kepada hasil bumi sudah tidak ada,” katanya kepada MalaysiaNow.

Orang Asli suku Jakun menggemburkan tanah di kebun sayurnya yang diusahakan berhampiran hutan di Kampung Melai, Tasik Chini.

Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuantan, Tasik Chini yang berkeluasan 5,026 hektar itu merupakan tapak rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pertama di negara ini.

Katanya, kerisauan komuniti Orang Asli ialah sumber makanan dan ekonomi mereka di tasik dan di hutan yang semakin terjejas akibat aktiviti perlombongan dan pembalakan.

“Saya mintalah kepada kerajaan, kawasan yang dikeluarkan daripada gazet terdahulu, kembalikan semula seperti yang asal.

“Hak kami di sini untuk teruskan cara hidup dan budaya kami, hak kami terhadap tanah harap tidak dinafikan,” katanya.

Hasam memberitahu, aktiviti perlombongan dan pembalakan bukan sahaja merosakkan Tasik Chini, malah aspek lain kehidupan Orang Asli.

“Bila sudah mula perlombongan, kita nak masuk ke kawasan itu pun tidak boleh, walaupun sekadar untuk lalu ke kawasan yang kami hendak tuju.

Orang asli suku Jakun, Rosni Baharin berdiri sambil memegang pancing dan bekas umpan cacing tanah berhampiran jeti Kampung Tanjung Puput.

Sedangkan jalan yang ada dalam kawasan itu bukannya dibuat semasa perlombongan, tapi itu denai tradisi kami untuk memburu, mencari herba.. semua sudah musnah.

“Bila kawasan itu sudah jadi hak mereka (perlombongan), hak kami dinafikan,” katanya.

Hasam berkata, aktiviti perlombongan tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada komuniti Orang Asli namun mereka terpaksa menanggung akibat buruk aktiviti perlombongan.

Sementara itu, aktivis alam sekitar dan kemanusiaan Hugs Project, Laili Basir berkata, kerajaan negeri tidak lagi boleh mengenepikan suara orang Asli yang merupakan sebahagian ekosistem tasik.

“Suka atau tidak, dipaksa atau tidak, kena masukkan Orang Asli dalam perbadanan itu.

“Ia untuk memberikan hak bersuara Orang Asli terhadap masa depan tasik dan masa depan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kemasukan wakil Orang Asli perlu dilakukan sebelum penubuhan perbadanan itu, di samping penglibatan pihak-pihak lain seperti kerajaan persekutuan, agensi kerajaan negeri, penyelidik, pihak industri, dan kerabat diraja.

“Sebelum ini suara mereka langsung tidak didengari, dan mereka juga langsung tiada saluran untuk menyatakan pendirian mereka.

“Sesuatu yang mengecewakan melihat Orang Asli menjadi penonton terhadap apa-apa perkembangan yang berlaku di tempat sendiri,” katanya.

Katanya, pemulihan merupakan satu subjek yang subjektif yang perlu diberi tekanan dan gesaan.

“Usaha pemulihan ini perlu dipantau supaya ia terus berjalan, dan Perbadanan inilah yang boleh memantau dan menjawab kepada rakyat.

“Oleh yang demikian, Orang Asli perlu diibatkan dalam perbadanan. Biar mereka menjadi suara yang memberi tekanan secara berterusan,” kata Laili.