- Iklan -
Berita

Di Gerik, arus zaman datangkan dilema pada belia Orang Asli

Kemahiran tradisional anak-anak Orang Asli semakin terhakis tetapi mereka tidak mampu untuk berdepan dengan kehidupan moden di bandar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang masyarakat Orang Asli Suku Jahai, Mohd Syukri menyapu di hadapan rumahnya di Kampung Raba, Tasik Banding, Gerik, Perak.
Seorang masyarakat Orang Asli Suku Jahai, Mohd Syukri menyapu di hadapan rumahnya di Kampung Raba, Tasik Banding, Gerik, Perak.

Kampung Sungai Raba dikelilingi bukit bukau banjaran Titiwangsa yang membuatkan penempatan Orang Asli itu terlindung daripada pandangan.

Tersorok beberapa kilometer dari Tasik Banding, Gerik, Perak, ia menjadi kediaman kepada 47 keluarga Orang Asli dari pelbagai etnik yang dibangunkan pada 1990-an sebagai program penempatan semula Orang Asli.

Suatu ketika ia menjadi “meriah” dengan pelbagai aktiviti ekonomi. 

Penduduk menanam aneka tanaman antaranya padi, getah, kelapa dan durian. 

Namun akibat serangan “orang besar”, istilah yang digunakan penduduk kampung itu yang merujuk kepada gajah, aneka tanaman itu tidak lagi ditanam buat sementara waktu.

Hanya getah yang masih menjadi taruhan penduduk untuk mencari nafkah. 

Orang lama kampung itu juga cukup mahir dalam membawa hasil hutan.

Menurut cerita penghulunya, Ali Pintu, mereka boleh meraih dua hingga tiga kilogram gaharu liar untuk dijual.

Ketua Kampung Ali Pintu bercakap ketika temu bual bersama MalaysiaNow.
Ketua Kampung Ali Pintu bercakap ketika temu bual bersama MalaysiaNow.

Selain itu, mereka boleh mencari rotan dan ikan kelah untuk dijual di pasar Banding.

"Kami boleh mendapat RM60 ke RM80 menjual hasil-hasil hutan, tetapi wang itu akan habis setelah membeli barangan keperluan," katanya. 

Ali bercerita sambil duduk di sebuah surau yang dibina di kampung itu.

Majoriti penduduk kampung beragama Islam dan mereka mengamalkan ajaran sepenuhnya. 

Di surau itu juga khutbah Jumaat disampaikan setiap minggu.

Ali yang kini mengusahakan kolam ikan tilapia berkata, keadaan itu membuatkan ramai anak-anak muda Orang Asli berada di persimpangan jalan.

Ini kerana mereka tidak dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran bagi berdepan dengan kehidupan moden di bandar.

Belia Orang Asli di kampung itu, Mohd Faizal Hamid, 21, merantau ke Selangor selepas tamat sekolah menengah. 

Selama beberapa tahun, dia bekerja di sebuah pasar raya di negeri itu.

"Saya pulang ke kampung kerana ada urusan keluarga namun tidak pulang semula ke Selangor kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

“Walaupun di sana saya boleh menerima gaji sehingga RM2,000 tetapi banyak yang perlu dibayar seperti sewa rumah, bil air dan elektrik," katanya.

Lelaki itu kini pulang ke kampung halamannya dan bekerja di sebuah tapak semaian.

Di tapak itu mereka menyemai benih pokok balak yang diperoleh daripada orang kampung atau diambil sendiri di hutan sebelum dijual. 

Belia Orang Asli menyusun pokok Medang di kawasan tapak semaian. Hasil-hasil hutan ini menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Raba, Tasik Banding, Gerik.
Belia Orang Asli menyusun pokok Medang di kawasan tapak semaian. Hasil-hasil hutan ini menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Raba, Tasik Banding, Gerik.

Menurut Faizal, anak-anak pokok itu kebanyakannya ditanam di tepi lebuh raya.

Ramai yang berkongsi cerita sama dengan Faizal.

Ada dalam kalangan rakaknya pernah ditipu ejen pekerjaan.

Malah lebih teruk, ada antara mereka yang tidak dibayar gaji penuh seperti dijanjikan.

Manipulasi dan mengambil kesempatan terhadap Orang Asli menjadi igauan buat anak muda di kampung itu sehingga menyebabkan ramai tidak gemar mencari kerja di luar.

Beberapa belia di kampung itu bekerja dengan Tabung Hidupan Luar Dunia (WWF), memasang kamera di hutan untuk badan tersebut.

Situasi seperti itu menjadi kerisauan kepada Ali. 

“Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”, mereka berisiko kehilangan kemahiran tradisional nenek moyang mereka dan pada masa yang sama, tidak mampu berdepan cabaran zaman moden di luar. 

"Orang (generasi) baru sekarang lagi teruk. Mereka tak tahu apa-apa. Hendak buat rumah tak pandai, pokok getah pun tak pandai.

"Kalau dahulu dibangunkan ekonomi Orang Asli, kita akan jadi macam orang Melayu, sama ada mewarisi kemahiran bapa atau menyambung pelajaran," kata Ali. 

Salah seorang anaknya bekerja di pasar raya, namun setelah lima tahun gajinya kekal pada paras RM1,200.

Kampung itu pernah dijanjikan tanaman getah setelah balak di kawasan berhampiran ditebang namun masih belum ditunaikan.

Pendidikan bukan menjadi isu buat anak-anak Orang Asli di kampung itu. 

Seorang kanak-kanak perempuan menonton video pada telefon pintar sambil diperhatikan ibunya.
Seorang kanak-kanak perempuan menonton video pada telefon pintar sambil diperhatikan ibunya.

Kemudahan pembelajaran di perkampungan itu lengkap bermula seawal tadika hingga ke sekolah menengah namun pencapaian akademik murid-murid Orang Asli kurang memberangsangkan sewaktu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kalau ada yang hendak ke universiti, wakil kerajaan kata anak-anak kami boleh pergi ke universiti. 

“Tetapi banyak masalah kami hadapi dari segi kos dan pengurusan, dari segi maklumat. Itu menjadi masalah," katanya.

Sebagai bapa kepada sembilan anak, Ali tahu betapa pentingnya pendidikan dan ilmu. 

Ada anak-anaknya yang dihantar mengaji agama di sekolah tahfiz.

Sekurang-kurangnya menurut Ali, mereka boleh bekerja di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. 

Bahkan, salah seorang daripadanya dilantik menjadi imam di kampung itu.

Seorang lagi belia, Muhammad Naim mengambil jalan yang sama dengan menyambung pengajian dalam bidang agama. 

Dia kini bertugas sebagai imam di kampung itu. 

Naim turut mengusahakan kebun rosel di tanah milik keluarganya.

"Tanaman ini baru kami usahakan dan telah sekali dipetik pada tahun lepas.

“Kami merancang untuk menambah tanaman itu kerana buat masa ini, kami hanya menggunakan separuh daripada keluasan tanah."

Namun di sebalik bukit bukau yang terbenteng luas, ancaman “orang besar” masih berpotensi mengganggu usaha Naim mencari rezeki untuk keluarganya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.