- Iklan -
Berita

Persatuan majikan gesa bantuan dalam bentuk subsidi gaji, elak pemberhentian pekerja

Majikan menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan perniagaan tanpa sokongan mencukupi daripada kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Dua lelaki kelihatan berdiri dihadapan pasar raya Sogo. Sekatan penuh pergerakan atau 'total lockdown' bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.
Dua lelaki kelihatan berdiri dihadapan pasar raya Sogo. Sekatan penuh pergerakan atau 'total lockdown' bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hari ini mengalu-alukan pakej bantuan RM40 bilion yang diumumkan kerajaan semalam susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) di samping turut mencadangkan sokongan kewangan itu disalurkan dalam bentuk subsidi gaji bagi menghalang pemberhentian pekerja.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata SPP yang mula dilaksanakan hari ini akan menyebabkan majikan menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan perniagaan tanpa sokongan mencukupi daripada kerajaan.

Dalam kenyataannya, jangkaan kerugian yang ditanggung mencecah RM2.4 bilion sehari, iaitu jumlah serupa kerugian yang dihadapi perniagaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan buat kali pertama tahun lalu.

“Bagi mengelakkan pemberhentian pekerja, majikan-majikan perlukan sokongan kewangan bagi mengekalkan pekerja jadi mungkin kerajaan boleh mempertimbakan subsidi gaji kepada majikan untuk pekerja-pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, sama seperti pakej rangsangan Prihatin sewaktu PKP 2.0 yang menyediakan subsidi enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020,” katanya.

Laporan-laporan sebelum ini berkata sejumlah 2.8 juta orang bakal berdepan kehilangan pendapatan sementara 40% perniagaan kecil dan sederhana mungkin terpaksa menutup perniagaan akibat “lockdown”.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan “total lockdown” pada 28 Mei lalu berkata SPP akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Fasa pertama adalah penutupan sektor ekonomi dan sosial secara menyeluruh dengan pengecualian 18 sektor utama.

Jika ia berjaya mengurangkan kes harian Covid-19. Kerajaan akan melaksanakan SPP fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar dengan pematuhan SOP penjarakan fizikal.

Fasa kedua akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir sementara pelaksanaan fasa ketiga pula akan membenarkan aktiviti sosial dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat.

Syed Hussain turut menggesa orang ramai untuk mendaftar vaksinasi kerana ia mampu menyelamatkan nyawa.

“Sekiranya lebih cepat kita capai immuniti kelompok, lagi cepat kita dapatkan jalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.