- Iklan -
Berita

‘Penderma’ vaksin tak boleh tunjukkan bukti, kata Khairy

Katanya pegawainya menghubungi individu yang mendakwa sebagai Yong Chee Kong yang hanya mengatakan mempunyai wang dan akaun di Hong Kong.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini berkata lelaki yang mendakwa menawarkan dua juta dos vaksin percuma kepada kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bukti memberikan sumbangan.

Dalam beberapa posting di Twitter, Khairy yang semalam mengatakan tawaran itu sebagai scam berkata, pegawainya dapat berhubung dengan “individu yang mendakwa dirinya sebagai Yong Chee Kong”, lelaki yang menandatangani surat kepada kerajaan Pulau Pinang.

“Dia tanya kepadanya apakah mempunyai bukti sumbangan itu supaya kita boleh permudahkan (contohnya memesan kepada Sinovac). Dia kata tidak ada. Dia kata mempunyai wang dan akaun di Hong Kong,” ciap Khairy di Twitter petang ini.

“Pegawai saya kemudiannya memberitahunya dia boleh tunjukkan bukti sumbangan itu atau melakukan sumbangan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia yang kemudiannya akan menyerahkan kepada kerajaan Pulau Pinang. Bukan untuknya membayar kepada mana-mana syarikat. Tetapi dia enggan.”

Khairy turut mengulangi bersedia untuk mempermudahkan sumbangan itu sekiranya Yong boleh membuktikan kemampuannya untuk membeli vaksin atau memberikan sumbangan secara rasmi kepada kerajaan.

Khairy yang bertanggungjawab terhadap program imunisasi kebangsaan berkata semalam, siasatan mendapati syarikat yang dipetik dalam surat, Xintai Development Enterprise Ltd, tidak wujud.

Sementara semakan dengan Sinovac dari China juga mendedahkan tiada bukti atau dokumen diterima, katanya.

“Sumbangan atau tawaran ini palsu. Lihat surat tawaran ini, letterhead syarikat pun tiada,” katanya pada satu sidang media.

Khairy turut berkata sudah mengarahkan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Yong dilaporkan memberikan reaksi kepada kenyataan Khairy, menegaskan tawaran itu asli dan dilakukan atas kapasiti peribadinya.