- Iklan -
Berita

Harga makanan ‘bungkus’ mahal, namun kami tiada pilihan, kata pengusaha restoran

Kenaikan harga bahan mentah ditambah dengan kos lain menyebabkan harga makanan sukar untuk dikurangkan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menyebabkan perniagaan terpaksa menyerdiakan khidmat pandu lalu, atau penghantaran.
Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menyebabkan perniagaan terpaksa menyerdiakan khidmat pandu lalu, atau penghantaran.

Penguasaha restoran yang kini bergelut untuk membayar kos operasi perniagaan selepas terpaksa melalui pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard  (SOP) melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menghidupkan kembali industri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bagi terus menghidupkan perniagaan, sebahagian mengubah strategi dengan menjalankan perniagaan secara “pandu lalu” dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih mudah dan cepat kepada pelanggan.

Cara itu juga adalah demi mengurangkan risiko penularan Covid-19 sekiranya pelanggan makan di premis yang sesak dengan orang ramai.

Ramai juga pengusaha restoran yang memilih untuk menghantar makanan terus ke rumah pelanggan melalui perkhidmatan penghantaran seperti FoodPanda dan Grab.

Namun semua kaedah yang digunakan para peniaga itu mengenakan caj yang lebih mahal berbanding makan di premis.

Hal ini, kata mereka, adalah isu yang sukar untuk ditangani peniaga.

Timbalan Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia C Krishnan yang mewakili ribuan restoran di seluruh negara berkata restoran sudah pun bergelut dengan perbelanjaan seperti kenaikan harga bahan mentah, sewa, bil utiliti, gaji dan kos operasi lain.

Kebanyakan restoran kini hanya bergantung kepada pesanan “take away” atau “bungkus”, terutama ketika pelaksanaan PKP di seluruh negara yang melarang aktiviti makan di premis.

Bagi kebanyakan restoran, pemotongan harga daripada pesanan dengan kaedah demikian menyusahkan ramai peniaga.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Krishnan berkata kebanyakan pemilik restoran merasa mustahil untuk tidak mengenakan kos pembungkusan.

Katanya, kotak bungkusan plastik berharga 20 sen di kebanyakan restoran sementara beg plastik berharga sekitar sembilan sen setiap satu.

Sementara itu, cawan kertas dengan penutup dan bekas untuk makanan boleh mencecah harga sebanyak 70 sen atau 45 sen.

“Sukar bagi kami untuk kurangkan harga pesanan takeaway,” katanya.

“Kos takeaway adalah lebih mahal daripada makan di premis kerana ketika ini harga bahan pembungkusan bukannya murah.

“Kalau makan di premis, kita boleh gunakan semula pinggan, sudu dan garfu menjadikan harga makanan lebih murah.”

Menurut Krishnan, perbelanjaan lain termasuk kos bahan mentah turut naik terutama pada musim perayaan ketika ini.

Selain itu juga, sewa juga menjadi sebahagian kos besar peniaga yang menanggung harga sewa dengan menggunakan wang sendiri dari RM3,000 hingga RM10,000, harga sewa premis juga mungkin lebih mahal, katanya.

“Sebilangan peniaga mungkin sanggup buat begitu kerana mungkin perniagaan yang mereka jalankan berskala kecil,” kata Krishnan.

“Tetapi ini cara tersebut tidak sesuai untuk restoran yang lebih besar. Sukar untuk mereka tanggung kos itu sendiri.”

Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia Jawahar Ali Taib Khan berkata pemilik restoran dinasihatkan agar tidak menaikkan harga makanan walaupun kenaikan kos ramuan yang menurutnya meningkat “sekitar 50 hingga 80%” semasa pandemik melanda negara.

Jawahar berkata makanan di kedai ahli-ahlinya “sudah cukup murah” dan beliau mencadangkan agar syarikat penghantaran makanan mempertimbangkan untuk memberikan potongan harga dalam perkhidmatan.

Seorang pengendali sebuah restoran mamak di Shah Alam Muhammad Zakaria berkata jika pemilik mempertimbangkan cadangan itu, mereka tidak akan mendapat keuntungan daripada pesanan takeaway atau “bungkus” untuk dibawa balik ke rumah.

“Pembungkusan untuk dibawa pulang berharga 15 hingga 20 sen setiap satu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tak ada untung kalau kami turunkan lagi harga makanan.”

Zakaria turut menambah komisen yang dibayar untuk perkhidmatan penghantaran makanan juga turut merugikan peniaga.

“Komisen untuk perkhidmatan penghantaran makanan adalah sekitar 35%. Jadi jika saya jual nasi goreng dengan lauk ayam dengan harga RM10 menggunakan platform ini, saya hanya akan dapat RM6.50 setelah bayar komisen walaupun harga asal makanan itu di restoran kami adalah lebih tinggi.”

Zakaria juga berkata ramai pemilik restoran di negara ini tidak menerima potongan harga sewa daripada pemilik premis.

Katanya, mereka harus membayar sewa dengan jumlah penuh setiap bulan walaupun perniagaan restoran tidak memberangsangkan.

“Dulu saya miliki tujuh cawangan tetapi sekarang saya hanya ada dua. Sepanjang PKP, saya terpaksa tutup empat kedai.”

Semasa PKP pertama kali dilaksanakan tahun lalu, katanya, kerugian hampir RM80,000.

“Sekarang, simpanan saya sudah habis tetapi saya masih kena bayar bil, gaji pekerja, dan kos lain untuk dibayar.”