- Iklan -
Berita

Muhyiddin individu pertama terima vaksin Covid-19 hari ini

Turut dijadualkan menerima vaksin itu pada petang ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta empat lagi warga kerja kementerian kesihatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kementerian kesihatan sedang membuat persiapan bagi program pemvaksinan melibatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan bermula petang ini. Gambar: Bernama
Seorang petugas kementerian kesihatan sedang membuat persiapan bagi program pemvaksinan melibatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan bermula petang ini. Gambar: Bernama

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi hari ini dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin itu pada kira-kira 3 petang.

Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada 26 Februari (Jumaat) itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin tersebut untuk fasa pertama ini yang akan berlangsung hingga April depan.

Selain Muhyiddin, turut dijadualkan menerima vaksin itu pada petang ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta empat lagi warga kerja kementerian kesihatan.

Mereka bakal menerima vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya yang merupakan antara lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti di seluruh negara.

Pada Ahad lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke negara ini dengan sebahagian diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor.

Vaksin tersebut dibawa dari Singapura yang merupakan hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara-negara Asia Pasifik.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3 peratus merupakan petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus adalah anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pada Ahad lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke negara ini dengan sebahagian diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor.

Fasa kedua program ini akan bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Malaysia telah memperoleh 66.7 juta dos vaksin Covid-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Jan 2020, seramai 288,229 orang dijangkiti virus itu setakat 23 Feb (semalam), selain 1,076 kematian direkodkan bagi tempoh sama.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.