- Iklan -
Berita

Projek kereta api laju KL-Singapura dibatalkan

Kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat terhadap beberapa perubahan dicadangkan Putrajaya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang video bersama rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong berkenaan projek kereta api laju KL-Singapura (HSR) pada 2 Disember lalu. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang video bersama rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong berkenaan projek kereta api laju KL-Singapura (HSR) pada 2 Disember lalu. Gambar: Bernama

Projek kereta api laju KL-Singapura (HSR) dibatalkan selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat terhadap beberapa perubahan dicadangkan Putrajaya disebabkan kesan daripada pandemik Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kedua-dua negara sudah beberapa kali mengadakan perbincangan akan tetapi gagal mencapai kata sepakat.

“Kedua-dua negara akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan akan meneruskan tindakan selanjutnya selepas perjanjian HSR dibatalkan,” kata mereka.

Kedua-dua pemimpin itu juga memberikan jaminan akan meneruskan komitmen mengekalkan hubungan baik antara dua negara dan akan terus bekerjasama termasuk mengukuhkan kesalinghubungan antara dua negara.

Tempoh penangguhan selama dua tahun projek HSR tamat pada 31 Disember 2020.

Projek yang seharusnya siap pada 2026 itu pertama kali ditangguhkan empat bulan selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan pada 2018, kerana kerajaan Pakatan Harapan menyemak semula projek-projek besar disebabkan kebimbangan kewangan.

Difahamkan penangguhan projek itu selama dua tahun menyebabkan Malaysia perlu membayar RM45 juta sebagai pampasan kepada Singapura.

Semalam MalaysiaNow melaporkan versi terbaru HSR akan menghubungkan destinasi strategik domestik yang akan menguntungkan Malaysia.