Wednesday, August 4, 2021

Malaysia akan batalkan projek kereta api laju KL-Singapura?

Tarikh luput penangguhan selama dua tahun projek itu akan tamat pada tengah malam ini.

Other News

Malaysia berkemungkinan besar tidak akan meneruskan projek infrastruktur kereta api laju KL-Singapura (HSR) menjelang tarikh luput penangguhan selama dua tahun tengah malam ini, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Sumber yang mengetahui mengenai rundingan antara dua negara itu berkata, Malaysia mempunyai rancangan sendiri berhubung HSR, satu langkah yang mungkin akan mengecewakan negara jiran itu.

“Ia sudah pasti akan lebih menguntungkan Malaysia dalam jangka masa panjang, walaupun kita terpaksa membayar pampasan,” kata sumber itu.

Pada Mei, kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek 350km itu sehingga penghujung 2020 disebabkan permohonan dari Putrajaya.

Malaysia membuat permohonan tersebut untuk mengkaji implikasi projek itu terhadap ekonomi.

Projek yang seharusnya siap pada 2026 itu pertama kali ditangguhkan empat bulan selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan pada 2018, kerana kerajaan Pakatan Harapan menyemak semula projek-projek besar disebabkan kebimbangan kewangan.

Langkah itu dikritik hebat bekas perdana menteri Najib Razak yang mengatakan HSR akan menguntungkan Malaysia.

Akan tetapi pengkritik projek itu termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengatakan HSR akan lebih menguntungkan Singapura.

Difahamkan penangguhan projek itu selama dua tahun menyebabkan Malaysia perlu membayar RM45 juta sebagai pampasan kepada Singapura.

Tetapi sumber sama memberitahu MalaysiaNow versi terbaru HSR akan menghubungkan destinasi strategik domestik yang akan menguntungkan Malaysia.

“Saya tak rasa Singapura akan bersetuju kerana ia akan menjejaskan lapangan terbang mereka,” kata sumber itu merujuk kepada Lapangan Terbang Changi Singapura yang menjadi salah satu hub utama di Asia Pasifik.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles