- Iklan -
Berita

Wanita Malaysia kecewa selepas kerakyatan anak dinafikan

Permohon untuk mendapatkan kewarganegaraan anak ditolak tanpa sebarang alasan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Penduduk negara ini perlu memiliki MyKad bagi membuktikan taraf kewarganegaraan mereka.
Penduduk negara ini perlu memiliki MyKad bagi membuktikan taraf kewarganegaraan mereka.

Kerumitan proses mendapatkan taraf kerakyatan bagi anak selepas melahirkan hasil perkahwinan dengan lelaki warga asing di luar negara membuatkan beberapa wanita Malaysia merasa kecewa kerana sistem sedia ada tidak memihak kepada mereka.

Salah seorang daripadanya hanya mahu dikenali sebagai Myra.

Beliau melalui rutin yang sangat memenatkan sejak tujuh tahun lalu bagi mendapatkan taraf kewarganegeraan anak perempuannya yang lahir di negara asal suaminya di Zambia.

Katanya, sudah dua kali permohon untuk mendapatkan kewarganegaraan anaknya ditolak tanpa sebarang alasan.

“Bila ditanya, mereka cuma cakap ia sulit dan persendirian,” kata wanita berumur 29 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Myra berkahwin dengan suaminya pada tahun 2013 dengan kelahiran anak sulung di negara berkenaan.

Kini, mereka sudah mempunyai dua orang cahaya mata, masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun.

Bagaimanapun, anak keduanya yang dilahirkan di Selangor diberikan kewarganegaraan Malaysia.

“Setiap kali kami keluar bersama, anak saya dilayan seperti rakyat asing. Kami perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana dia dikenakan caj sebagai warga asing. Contohnya, ketika kami melawat ke zoo dan pusat akuarium.

“Harganya satu kali ganda daripada harga yang dibayar oleh rakyat tempatan,” katanya dan menambah lebih banyak cabaran dihadapi apabila anaknya memulakan sesi persekolahan, awal tahun ini.

Myra melalui proses pendaftaran sekolah yang sukar dengan setiap urusan berlaku di lokasi berbeza.

Pertama, beliau perlu membuat permohonan rasmi di sekolah dan mendapatkan kebenaran di pejabat pendidikan daerah (PPD).

“Selepas dapat kebenaran, PPD akan keluarkan pas visa pelajar. Kemudian, saya perlu ke sekolah semula untuk membuat bayaran yuran. Lepas itu, datang semula ke PPD dengan salinan resit bayaran.”

Katanya, belanja lebih perlu dikeluarkan kerana anaknya tidak mendapat pinjaman buku teks dan terdapat tambahan yuran dikenakan.

Ini kerana pinjaman hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja dan terdapat tambahan yuran bagi warga asing di sekolah.

Menurut Myra, kerajaan tidak patut melabel kanak-kanak yang senasib dengan anak sulungnya sebagai “memberi ancaman terhadap kedaulatan negara” dan menambah kenyataan itu sebagai “mengarut”.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, bayi yang lahir di luar negara dengan bapa memiliki kewarganegaraan Malaysia akan dianugerahkan taraf warganegara secara automatik.

Bagaimanapun, bagi yang lahir dengan ibu warganegara Malaysia perlu memohon untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said mempertahankan tindakan tersebut di Dewan Rakyat mengatakan ia bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Kenyataan itu dibantah Lawyers For Liberty (LFL) yang berkata kerajaan sepatutnya meminda Bahagian II dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan “bapa” kepada “ibu bapa”.

Dengan pindaan itu, ia akan selaras dengan aspirasi Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, di mana tiada diskriminasi berdasarkan gender.

Menurut Myra, kerajaan tidak patut melabel kanak-kanak yang senasib dengan anak sulungnya sebagai “memberi ancaman terhadap kedaulatan negara” dan menambah kenyataan itu sebagai “mengarut”.

Sementara Elly yang menetap di Bangkok, Thailand menemui jalan buntu bagi membolehkan anak perempuannya mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Wanita berusia 37 tahun itu berkahwin dengan seorang warganegara Britain dan dikurniakan seorang anak berusia tiga bulan.

Sebelum melahirkan anak, Elly sudah memulakan proses permohonan untuk mendapatkan taraf warganegara Malaysia, tetapi tiada sebarang maklum balas daripada pihak kedutaan.

“Saya tetap percaya bahawa anak saya mempunyai hak untuk mendapat kerakyatan Malaysia sampai umur 18 tahun.

“Jadi, kalau ditanya kenapa tidak mohon kerakyatan Britain, ia tidak patut jadi isu pun,” katanya kepada MalaysiaNow.

Elly bimbang, sekiranya berlaku sesuatu terhadap suaminya, beliau tidak boleh membawa pulang anaknya ke Malaysia secara sah di sisi undang-undang.

“Dia tidak mempunyai dokumentasi yang sah. Nak naik penerbangan tak boleh, kerana tiada pasport.”

Pengasas Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) Bina Ramanand berkata, perjalanan golongan wanita rakyat tempatan untuk mendapatkan taraf warganegara bagi anak-anak mereka sangat berliku.

Katanya, kebanyakan mereka tidak menyedari tentang kewujudan syarat-syarat sedemikian dan berasa kecewa selepas diberitahu permohonan mereka ditolak pihak berkuasa.

“Golongan ibu ini tidak dibenar mendapat kerakyatan secara automatik bagi anak mereka disebabkan gender,” katanya kepada MalasysiaNow.

Myra dan Elly kedua-duanya merupakan ahli dan pengikut FSSG.