- Iklan -
Berita

UK, Hong Kong turut alami penurunan dalam Fitch Ratings, kata menteri

Malaysia bukan satu-satunya negara yang diturun taraf oleh Fitch Ratings.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tindakan mempolitikkan isu ini adalah tidak bertanggungjawab, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: AFP
Tindakan mempolitikkan isu ini adalah tidak bertanggungjawab, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: AFP

United Kingdom dan Hong Kong turut mengalami penurunan dalam penarafan Fitch Ratings dan tindakan Pakatan Harapan (PH) mempolitikkan isu ini adalah tidak bertanggungjawab, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, kenyataan Majlis Presiden PH yang mengelirukan mengenai penurunan satu anak tangga Malaysia daripada A- kepada BBB+ yang diumumkan 4 Disember lalu oleh firma penarafan antarabangsa itu sudah dijangka akan dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan.

“Malaysia bukan satu-satunya negara yang diturun taraf oleh Fitch. Sebanyak 100 negara mengalami penurunan penarafan tahun ini termasuk United Kingdom (UK), Hong Kong, Chile dan Laos,” kata Zafrul dalam satu kenyataan disiarkan di Facebook.

PH dalam satu kenyataan pada Isnin mengatakan penurunan dalam penarafan Fitch Ratings menunjukkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan lanjutan daripada ketidaktentuan politik.

Zafrul mempersoalkan apakah sebenarnya yang dimahukan PH daripada isu penarafan ini.

Menurut Zafrul, pada 24 Ogos lepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim sendiri menyatakan di Dewan Rakyat penarafan bukan isu utama yang patut diberatkan kerajaan dan soal defisit tidak menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan.

“Pada bulan sama, YB Bagan, Lim Guan Eng, pula dalam Dewan Rakyat menyeru kerajaan berbelanja lebih dalam senario wabak Covid-19 ini walaupun hutang akan naik, defisit fiskal akan naik tetapi ini amat diperlukan,” katanya merujuk kepada Lim yang juga bekas menteri kewangan.

Zafrul mempersoalkan apakah sebenarnya yang dimahukan PH daripada isu penarafan ini.

“Sukar untuk kita fahami jika semalam mereka mendesak kerajaan jangan terlalu hiraukan hutang dan rating, tetapi hari ini pula menyelar kerajaan kerana kejatuhan rating itu.”

Zafrul berkata firma penarafan antarabangsa itu beberapa kali dalam laporan mereka menyatakan penurunan penarafan berkaitan ketidaktentuan situasi politik negara dan pada masa sama, Fitch Ratings dalam kenyataan mereka mengiktiraf pelbagai usaha kerajaan.

“Pertama, unjuran pengurangan defisit fiskal daripada 6% kepada 5.4% untuk 2021 dan seterusnya kepada 4.5% sehingga 2023 dikatakan sasaran yang boleh dicapai.

“Kedua, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5% ke 7.5% bagi 2021. PH sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik, namun Fitch Ratings sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7% sejajar dengan unjuran kita sendiri.

“Institusi lain seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8% iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan kepada kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali.

“Ketiga, walaupun penarafan diturunkan, tinjauan atau ‘outlook’ bertukar daripada negatif kepada stabil,” katanya.

Zafrul mempersoalkan pendirian bercanggah ini dan PH diminta menyatakan yang mana satu lebih penting – sama ada penarafan dan rating atau perbelanjaan untuk rakyat.

Katanya, ahli Parlimen PH sendiri di Dewan Rakyat menyatakan kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan kerana peruntukan memerangi Covid-19 tidak mencukupi.

Zafrul berharap “YB” terbabit akan konsisten dalam menyokong rang undang-undang (RUU) yang diusulkan kerajaan untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini.