- Iklan -
Berita

Muhyiddin jauh tinggalkan Dr Mahathir, Anwar dalam satu kaji selidik terbaru

Perdana menteri memperoleh sokongan lebih besar daripada orang bukan Melayu walaupun sokongan mereka terhadap kerajaan rendah.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat mendapat sokongan lebih tinggi berkaitan pelaksanaan polisinya berbanding ketika kali pertama mengambil alih kuasa, dengan kira-kira 65% memberi isyarat bagus kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut satu kaji selidik yang dijalankan sebuah badan pemikir baru-baru ini.

Kaji selidik yang dilakukan oleh Emir Research pada bulan Ogos itu melibatkan lebih 2,000 responden dari seluruh negara, mengatakan Dr Mahathir Mohamad menduduki tangga kedua sebagai “perdana menteri pilihan” dengan 10% sokongan, diikuti Anwar Ibrahim sebanyak 8%.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini secara terbuka kerap menyatakan kesudian mereka untuk menduduki jawatan tertinggi itu.

Kaji selidik itu mengatakan sebanyak 73% responden wanita menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, yang turut mendapat sokongan lebih banyak dalam kalangan golongan muda.

Selain sokongan dalam kalangan orang Melayu dan etnik Bumiputera lain kepada beliau, Muhyiddin turut memperoleh suara daripada kaum Cina (50%) dan India (49%), kata kaji selidik itu.

Sebagai perbandingan, Mahathir memperoleh 9% sokongan orang Melayu dan 25% daripada kaum Cina-India.

Sementara itu, Anwar sekadar memperoleh 5% sokongan daripada orang Melayu, dan 38% daripada kaum Cina dan India.

Emir Research menyatakan sokongan kaum bukan Melayu terhadap Muhyiddin sebagai “perdana menteri pilihan” bertentangan dengan sokongan rendah mereka kepada kerajaan.

“Satu penjelasan mengenai hasil yang membingungkan itu mungkin disebabkan kata sepakat mengenai kestabilan kerajaan yang menjadi salah satu perkara utama kajian kualitatif kami,” tambahnya.

“Salah satu kesimpulan: Orang ramai menyatakan kerajaan sekarang adalah kerajaan yang mereka perlukan, bukan kerajaan yang kita mahukan dan bukan kerajaan yang kita pilih,” kata laporan yang dikeluarkan badan pemikir itu.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan peletakan jawatan Mahathir.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh sembilan bulan pentadbirannya, beliau terpaksa berhadapan dengan usaha memerangi Covid-19, yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengumumkan pakej ransangan bernilai berbilion-bilion ringgit untuk menangani kesan pandemik terhadap ekonomi.

Rasa puas hati dengan kerajaan

Dalam pada itu kaji selidik tersebut turut mengatakan kerajaan PN memperoleh Indeks Kepuasan Terhadap Kerajaan (GSI) sebanyak 0.67 pada suku ketiga tahun ini berbanding 0.45 suku pertama, menyaksikan kenaikan 49%.

Emir Research berkata skor GSI itu “melebihi tahap sederhana” dan menunjukkan peningkatan ketara berbanding satu kaji selidik serupa yang dijalankan akhir tahun lepas yang menyaksikan kerajaan memperoleh skor 0.45 dalam suku pertama tahun 2020.

“Keyakinan dan optimisme responden terhadap masa depan, dan keyakinan lebih tinggi mengenai kepuasan terhadap kerajaan, mungkin menjadi sebab peningkatan sokongan mereka kepada kerajaan dalam usaha memberi keseimbangan dalam kehidupan dengan membuka kembali ekonomi menerusi pengumuman pakej rangsangan serta dalam masa yang sama menyeimbang usaha-usaha mengurangkan jangkitan Covid-19 dan pencarian vaksin,” kata badan penyelidik itu dalam siri kaji selidiknya yang bertajuk “Pulse From The Ground”.

Hasil kaji selidik itu juga turut mendedahkan lebih ramai rakyat Malaysia kini tidak menghiraukan gabungan parti dalam pilihan politik mereka.

Sebanyak 29% daripada rakyat berkata mereka akan menyokong parti politik berasaskan prinsip, lebih daripada mereka yang melihat pada parti itu sendiri (25%) dan individu (24%).

Ia berkata trend “politik berasaskan prinsip” itu lebih “menarik”, walaupun ia lebih condong kepada masyarakat Malaysia yang tinggal di bandar.

Sementara itu, kaji selidik itu juga turut memberi gambaran mengenai kesetiaan politik dalam kalangan responden, dengan kebanyakan orang Melayu memilih Umno (51%).

DAP pula mendapat sokongan besar daripada kaum Cina dan India, manakala Bersatu lebih popular dalam kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dikatakan sebahagian besar sokongan yang diperoleh Umno datang daripada golongan berpendapatan rendah, atau mereka yang berpendapatan di bawah RM1,500, manakala orang Melayu kaya mendampingi Bersatu dan PAS.

Sokongan besar Umno juga turut datang daripada mereka yang memiliki latar belakang kelayakan akademik yang lebih rendah, kata kaji selidik itu.