- Iklan -
Berita

Selepas pendedahan, Zahid kini mahu menteri Umno kekal dalam Kabinet

Walaupun mencadangkan gencatan politik, Zahid mendesak Parlimen dibubarkan selepas Covid-19 terkawal.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melintasi Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur.
Seorang lelaki berjalan melintasi Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Selepas pendedahan Ahmad Zahid Hamidi menuntut empat menteri partinya digugurkan daripada Kabinet dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, presiden Umno itu kini mahukan mereka kekal dalam kerajaan.

Zahid berkata ini kerana Umno adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat.

“Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

MalaysiaNow sebelum ini mendedahkan Zahid menuntut Muhyiddin menggugurkan Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique selain meminta dirinya dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam kenyataan itu, walaupun turut mengulangi gencatan politik dilakukan agar kerajaan fokus melawan pandemik, Zahid mendesak agar Parlimen dibubarkan selepas penularan Covid-19 terkawal.

“Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan dengan mengadakan pilihan raya umum bagi mewujudkan kerajaan yang stabil setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.”

Beliau turut mengulangi Umno menjunjung titah Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Umno turut memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan, antaranya pelanjutan tempoh moratorium dan bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19.

Dalam kenyataan itu, walaupun turut mengulangi gencatan politik dilakukan agar kerajaan fokus melawan pandemik, Zahid mendesak agar Parlimen dibubarkan selepas penularan Covid-19 terkawal.

“Lantaran itu, Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

“Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan Umno dalam mendokong titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali,” katanya.