Kerajaan sekat keluar masuk Sabah bermula esok
Pengecualian hanya diberikan kepada kes-kes tertentu.
Terkini
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan sekatan perjalanan dari Sabah ke semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula 7 hingga 20 Oktober 2020 susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob dalam satu kenyataan memberitahu pengecualian akan diberikan kepada kes-kes tertentu melibatkan hal kecemasan, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang dibenarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka yang mendapat kebenaran juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Semalam sebanyak 432 kes terbaru Covid-19 dilaporkan, angka tertinggi setakat ini dengan jumlah pesakit aktif melebihi 2,000 orang.
Bagaimanapun, bagi pergerakan masuk ke Sabah, kerajaan memberikan kebenaran kepada kategori berikut;
* Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H.
* Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.
* Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah
* Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.
* Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Negeri Sabah
* Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam pasport
* Mereka hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan.
* Mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.