- Iklan -
Berita

YDP setuju lantik Hajiji sebagai KM Sabah

Hajiji berkata beliau akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, bagi memenuhi mandat yang diterima daripada rakyat Sabah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional (PN), Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Calon Perikatan Nasional (PN), Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini bersetuju, melantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah yang baru.

“Saya ucap tahniah kepada Hajiji dan saya persetujui sebagai ketua menteri yang baru, untuk mengangkat sumpah pada esok hari,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat jemputan istiadat angkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah ke-16 kepada Hajiji, di Istana Negeri di Kota Kinabalu.

Sejurus selesai penyampaian surat jemputan itu, Hajiji turut menghadiri raptai istiadat angkat sumpah yang dijadual berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri, pada pukul 10 pagi, esok.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan Hajiji, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, sebagai calon ketua menteri Sabah yang baru.

GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Warisan, pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas penerimaan surat itu, Hajiji berkata beliau akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, bagi memenuhi mandat yang diterima daripada rakyat Sabah.

“Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama kerana beliau menjemput saya untuk menerima surat pelantikan sebagai ketua menteri negeri Sabah…esok saya dimaklumkan saya (angkat sumpah) dan timbalan-timbalan ketua menteri dahulu,” katanya.