- Iklan -
Berita

Platform iklan Israel digunakan media Malaysia cetus tanda tanya

Lebih 20 pertubuhan mempersoalkan penggunaan perkhidmatan Taboola oleh syarikat digital milik Media Prima.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Sayap tempatan pergerakan anti-Zionis, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), hari ini melahirkan kebimbangan mengenai risiko privasi, keselamatan siber dan tadbir urus data susulan penemuan bahawa sebuah kumpulan media di Malaysia menggunakan khidmat syarikat pengiklanan dari Israel, yang dimiliki individu dengan hubungan rapat dengan rangkaian ketenteraan dan perisikan negara Zionis itu.

BDS Malaysia dan lebih 20 kumpulan lain menggesa REV Media, anak syarikat Media Prima, menjelaskan tindakannya menggunakan platform Taboola.

Mereka merujuk kepada maklumat yang diperoleh di laman web Taboola yang menyatakan REV Media kini merupakan pengguna platform Realize milik Taboola dan telah mengintegrasikan Pixel Taboola untuk menjejak serta menganalisis tingkah laku pengguna, selain meningkatkan ketepatan sasaran pengiklanan.

“Syarikat teknologi asing tersebut, Taboola, di mana pengasas dan CEO-nya juga merupakan ahli lembaga pengarah, mempunyai sejarah jelas dalam unit siber canggih IDF (Pasukan Pertahanan Israel), di samping seorang eksekutif kanan yang mempunyai latar belakang dalam unit perisikan IDF,” kata BDS Malaysia dalam kenyataan yang turut disokong 22 organisasi lain.

“Oleh itu, terdapat asas untuk mempersoalkan sama ada penilaian sewajarnya mengenai privasi, keselamatan siber, tadbir urus data dan kepentingan negara telah dijalankan sebelum hubungan teknologi dengan Taboola diterapkan ke dalam infrastruktur digital REV Media.”

Menurut kenyataan itu, pada Mac lalu, REV Media, firma yang membawa produk digital ke portal berita New Straits Times milik Media Prima, pernah memberi jaminan tidak akan berurusan dengan entiti yang mempunyai kaitan dengan Israel.

“Namun, seperti diumumkan oleh laman web Taboola sendiri, kami mendapati REV Media kini menggunakan platform ‘Realize’ milik Taboola dan telah mengintegrasikan ‘Pixel’ Taboola untuk menjejak serta menganalisis tingkah laku pengguna, selain meningkatkan ketepatan sasaran pengiklanan.”

Kenyataan itu turut membangkitkan beberapa persoalan yang seharusnya diambil kira sebelum teknologi Taboola diterapkan. 

“Di manakah data pengguna Malaysia disimpan dan diproses? Entiti Taboola, subkontraktor atau pihak ketiga yang manakah boleh mengakses maklumat tersebut? 

“Adakah sebarang kumpulan data Malaysia dipindahkan ke luar Malaysia, dan apakah langkah perlindungan yang mengawal pemindahan tersebut?” soal mereka.

Turut dipersoalkan ialah sama ada Media Prima atau REV Media menjalankan “penilaian keselamatan, privasi atau kepentingan negara” berhubung kerjasama mereka dengan Taboola.

“Memandangkan kepimpinan kanan Taboola mempunyai latar belakang terbabit dalam unit siber dan perisikan tentera Israel, adakah sebarang langkah perlindungan tadbir urus atau keselamatan tambahan dipertimbangkan?”

MalaysiaNow telah menghubungi REV Media untuk mendapatkan respons.