Saturday, July 2, 2022

Bekas pengarah UKSB nafi beri keterangan bohong dalam perbicaraan kes rasuah Zahid

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani turut menafikan beliau mengambil dan menggunakan wang yang dikatakan telah dibayar kepada presiden Umno itu.

Other News

Bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) hari ini menafikan beliau berbohong dan tidak jujur ​​ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu bahawa beliau tidak memberi wang kepada Zahid.

Semalam Wan Quoris dalam keterangannya berkata Zahid menerima sumbangan (wang) dari syarikat itu antara 2014 dan 2018.

Bantuan kewangan yang diberikannya kepada Zahid bertujuan mengukuhkan kedudukan UKSB sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Terdahulu saksi pendakwaan ke-16 itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa beliau dan bekas pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun serta bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan telah melakukan konspirasi atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Beliau turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Ahmad Zaidi Zainal bahawa wang yang dikatakan telah dibayar kepada presiden Umno itu sebenarnya telah diambil dan digunakan oleh mereka bertiga.

Zaidi: Dan sebab itulah kamu boleh hidup mewah dengan memiliki satu banglo di Putrajaya, semi-D di Cyberjaya dan satu apartment mewah di Pavilion Residence serta juga pelbagai kenderaan mewah yang lain bernilai lebih kurang RM2 juta lebih?

Wan Quoris: Saya tak setuju.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Wan Quoris berkata dengan pendapatan RM100,000 sebulan, beliau mampu membeli beberapa hartanah dan kenderaan mewah bernilai RM8 juta.

Beliau berkata gaji permulaannya dengan UKSB adalah RM10,000 sebulan pada 2013, sebelum meningkat kepada RM30,000 dan berakhir dengan RM100,000 pada 2018.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta dari UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung Khamis ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles